Fenomena Hobi Generasi Baharu

Home » Fokus » Fenomena Hobi Generasi Baharu

Oleh Samat Buang

HOBI merupakan aktiviti rekreasi yang dilakukan pada masa lapang bagi menenangkan fikiran seseorang. Tujuan hobi adalah untuk memenuhi minat dan mendapatkan keseronokan, tetapi kadang-kadang hobi dapat juga bertukar menjadi punca pendapatan. Terdapat pelbagai jenis hobi termasuklah, mengumpul, membuat, membaiki, bermain, dan berunsurkan pendidikan. Ada hobi yang percuma dan ada pula yang memerlukan belanja. Apa-apa pun hobi yang dilakukan oleh seseorang pastinya dapat mengisi masa lapang dengan membuat kerja yang berfaedah, sekali gus mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat. Menerusi hobi, seseorang juga memperoleh banyak maklumat yang bermanfaat, menjanakan pendapatan, sekali gus berperanan sebagai pengisian untuk beriadah. Banyak orang mempunyai pelbagai hobi yang menarik dan berbeza-beza, serta dianggap pelik.

Bermanja dan bermain dengan kucing pada waktu terluang merupakan antara hobi kebanyakan masyarakat hari ini. Kucing antara haiwan jinak yang cukup popular dalam kalangan masyarakat yang menjadi “penghuni” bersama di dalam rumah, yang akan turut dilayan seperti anak kecil. Tidak mustahil sekiranya ada individu yang sanggup berhabis ribuan ringgit sebulan semata-mata membeli makanan serta keperluan harian haiwan ini, termasuk pasir untuk najis, syampu dan sikat, atau membeli seekor anak kucing import daripada baka yang baik.

Sebagai ekoran banyaknya anggota masyarakat yang gemar memelihara kucing, ada sesetengah pihak terfikir untuk menubuhkan persatuan yang berkaitan dengan haiwan tersebut dalam usaha menjadikan hobi mereka lebih bermanfaat. Antara persatuan kucing di Malaysia yang aktif dengan pelbagai aktiviti termasuklah Cats Advocates And Troupers Society (CATS), persatuan yang dilihat semakin bergerak aktif di negara ini.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2016)

 

Hantar Maklum Balas