Kenali Personaliti Melalui Hobi

Home » Fokus » Kenali Personaliti Melalui Hobi

Oleh Nizar Parman

SAMA ada kita sedar ataupun tidak, pertanyaan tentang hobi merupakan antara soalan yang acap kali ditanya oleh seseorang apabila ingin mengenali kita dengan lebih dekat lagi. Sesetengah orang beranggapan bahawa hobi bukanlah perkara yang penting dan hanya hanya memberikan kepuasan kepada individu tertentu yang memilikinya. Namun begitu, pihak yang melihatnya dari perspektif yang lain beranggapan bahawa personaliti seseorang itu dapat ditentukan melalui hobinya.

Apabila kita membicarakan isu ini, mungkin banyak antara kita yang masih keliru antara hobi dengan minat. Namun begitu, jika kita merujuki Kamus Dewan atau pendapat daripada pakar dalam bidang psikologi, kedua-dua perkataan ini memberikan takrif yang berbeza. Kamus Dewan mendefinisikan hobi sebagai aktiviti yang dilakukan pada masa lapang atau senggang, manakala minat pula membawa maksud kecenderungan atau keinginan kepada sesuatu.

Bagi menjelaskannya lagi, kita dapat melihat perbezaan antara orang yang minat akan permainan bola sepak dengan orang yang mempunyai hobi bermain bola sepak. Orang yang minat akan permainan bola sepak tidak semestinya pandai bermain bola sepak. Namun begitu, oleh sebab minat yang mendalam terhadap permainan bola sepak, individu ini akan sentiasa mengikuti perkembangan berita atau dunia bola sepak, sama ada melalui media cetak atau media elektronik setiap hari ataupun berbicara tentang bola sepak dengan rakan yang mempunyai minat yang sama. Bagi orang yang mempunyai hobi bermain bola sepak pula, individu ini akan bermain bola sepak sekiranya mempunyai masa yang terluang, seperti pada waktu petang atau hujung minggu.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2016)

Hantar Maklum Balas