Berfikir Tuntutan Kecemerlangan

Home » Khas » Isu Semasa » Berfikir Tuntutan Kecemerlangan

Oleh Lokman Ismail

PERBEZAAN ketara antara manusia berbanding dengan haiwan ialah manusia mempunyai akal. Akal berada dalam dua bentuk, yakni secara fizikal yang dinamai otak dan secara rohani disebut minda atau fikiran. Akal dalam bentuk otak tidak ada bezanya daripada yang dimiliki oleh haiwan yang berperanan untuk mengkoordinasi fungsi organ badan dan tindak balas spontan berdasarkan kebiasaan.

Fungsi terpenting akal adalah dalam bentuk fikiran yang membolehkan manusia berfikir setiap perkara yang dilakukan, dilihat, dan didengar agar mencapai matlamat mendapat kebaikan dan mengelakkan perkara buruk. Pemikiran merupakan aktiviti psikologi dalam sesuatu proses yang dialami untuk digunakan bagi menyelesaikan masalah dalam situasi yang dihadapi.

Berfikir ialah setiap perkembangan dalam idea, pengetahuan, pengalaman, dan harapan yang tercetusnya dalam fikiran. Kebolehan berfikir terbaik ialah dapat menyelesaikan masalah, menemukan kaedah, mendapat petunjuk, memperoleh kebenaran, atau melahirkan perkara baharu.

Berfikir memerlukan gerakan minda untuk mencetuskan sesuatu dalam fikiran. Oleh itu, proses ini disebut daya berfikir, yakni kekuatan diperlukan untuk menghasilkan keputusan hasil berfikir itu. Berfikir berlainan daripada ingatan, walaupun kedua-duanya berpunca daripada otak. Ingatan lahir daripada apa-apa yang disimpan di otak. Berfikir pula bertujuan mencetuskan perkara baharu.

Berfikir memerlukan kemahiran. Kemahiran berfikir ialah kecekapan menggunakan akal menjalankan proses pemikiran. Seseorang memperoleh kemahiran berfikir dalam menyusun maklumat, konsep, atau idea secara teratur dan membuat kesimpulan atau keputusan yang tepat untuk tindakan yang terarah dan sewajarnya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2016)

 

Hantar Maklum Balas