Tuk Ayah

Oleh NAZRI HUSSEIN

BUKIT tinggi itu terlalu banyak berbakti kepada penduduk kampung serta rakyat negara ini. Disebabkan bukit tinggi yang menjadi pasak bumi dengan beberapa gua kecil yang sedikit terlindung itulah menjadikan kampung ini satu-satunya kawasan yang gagal ditawan oleh tentera Jepun ketika menakluki tanah Melayu beberapa dekad dahulu. Di sinilah, ratusan anak muda Melayu dan gerila Cina bersatu mengekang asakan serangan tentera Jepun yang bersenjatakan rifel dan peluru.

Di sinilah juga Tuk Ayah dan perwira-perwira kampung bangkit membalas serangan tentera Jepun dengan peluru timah dari muncung senapang patah yang dicuri dari depoh senjata tentera British. Masih Tuk Ayah ingat lagi, berpuluh-puluh hari mereka bertahan dengan bersembunyi di pintu-pintu gua di celah lereng bukit melakukan serangan gerila hingga berpuluh-puluh nyawa tentera Jepun terbunuh dek keberanian anak-anak muda yang bersemangat waja dan tidak takut mati. Akibatnya,tentera Jepun yang gagah berani itu terpaksa berundur penuh ketakutan melihat kekuatan pemuda-pemuda Melayu dan Cina bersatu menentang mereka.

Tuk Ayah tidak akan lupa di puncak bukit kebanggaan itulah juga, anak-anak muda berkumpul sambil berlatih bermain senjata menentang penjajahan British ke atas Tanah Melayu. Di situlah perwira-perwira negara berkampung di bawah arahan Tuk Ku Paloh dan Lebai Sareh menyerang dan membunuh puluhan rekrut tentera British dengan keris, pedang dan tombak.

Keberanian dan kegigihan mereka sebagai pejuang negara tidak sedikit pun terhapus daripada ingatan Tuk Ayah walaupun ketika itu usia Tuk Ayah masih kanak-kanak lagi. Paling berbekas di hati Tuk Ayah tatkala mengenangkan di puncak Bukit Merah itulah juga jasad ayahandanya, Panglima Ngah Seman, berkubur ditembak oleh tentera British dalam satu serangan nekad pada awal subuh. Nisan dan pusara ayahanda tercintanya di tengah-tengah puncak hingga kini masih Tuk Ayah kunjungi setiap kali pagi Jumaat sambil membaca Yassin dan doa. Di situlah juga, puluhan lagi pusara pemuda kampung yang berjuang menentang penjajahan kuasa-kuasa luar disemadikan buat selama-lamanya. Bagi Tuk Ayah, Bukit Merah adalah satu-satunya warisan sejarah yang masih tinggal di kampung itu untuk diceritakan kepada generasi baharu tentang perjuangan bangsa menentang penindasan dan kezaliman kolonial.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Hantar Maklum Balas