New Orleans Streetcar dan Taufan Katrina

Home » Khas » Khas Travelog » New Orleans Streetcar dan Taufan Katrina

Oleh Nisah Haron

TENNESSEE Williams memenangi Hadiah Pulitzer pada tahun 1948 melalui drama yang berjudul A Streetcar Named Desire. Penulis yang berasal dari New Orleans ini telah mengabadikan nama laluan streetcar yang terkenal di bandar raya ini. Jika dilihat sekali pandang pada judul drama tersebut, seolah-olah Williams mencipta nama Desire (yang bermaksud keinginan) dan dijadikan metafora kepada watak Blanche DuBois yang mempunyai pelbagai keinginan.

Streetcar tersebut berbentuk seperti trem dan berkongsi jalan raya dengan kenderaan lain. Dalam dialog DuBois, ada disebut bahawa dia menggunakan streetcar ini sewaktu menziarahi kakaknya. Menaiki streetcar tersebut digambarkan sebagai pengalaman yang luar biasa. Suasana inilah yang digambarkan warna-warni bandar raya New Orleans, yang mempunyai jaringan perhubungan yang unik selain warganya yang rencam. Menaiki streetcar menjadi kewajipan bagi penulis, seperti wajibnya menaiki trem jika berada di Melbourne atau menaiki gondola ketika berada di Venice. Streetcar berwarna merah ini dengan perlahannya melintasi Canal Street yang mengambil serta menurunkan penumpang di perhentian tertentu.

Menaiki streetcar juga ialah cara untuk ke French Market, kawasan yang mempunyai persamaan dengan Pasar Seni di Kuala Lumpur. Selain menjual barangan keperluan tempatan, tempat ini juga menjadi tumpuan pelancong membeli cenderamata dan jualan barangan seni. Bagi yang meminati cafe’au lait, pengunjung bolehlah mendapatkan serbuk kopi yang dijual di dalam tin. Jika pengunjung minat untuk memasak jambalaya atau gumbo, mereka boleh juga mendapatkan rencahnya di sini.

 ***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2016)

Hantar Maklum Balas