DARI PRANG BESAR KE PUTRAJAYA

Home » Jati Diri » Arkib Negara » DARI PRANG BESAR KE PUTRAJAYA

Oleh HASFIZA ABDULLAH

www.arkib.gov.my

PERNAHKAH sesiapa yang menduga kawasan hutan dan ladang di Prang Besar, Sepang, Selangor, akan bertukar menjadi bandar raya bestari yang menjadi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan? Lakaran sejarahnya bermula daripada cetusan idea bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada pertengahan tahun 1980-an untuk mewujudkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baharu di luar kawasan Kuala Lumpur. Hasrat ini selaras dengan dasar kerajaan untuk mengimbang dan menyebarkan pembangunan dari Kuala Lumpur. Keputusan ini juga didorong oleh hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti persekitaran perbandaran dan kehidupan di Kuala Lumpur serta menjamin pembangunan berterusan di Lembah Kelang.

Sekitar bulan Jun 1993, dua kawasan telah dikenal pasti bagi tujuan tersebut, iaitu Prang Besar dan Janda Baik di Pahang. Akhirnya, Prang Besar dipilih untuk dibangunkan sebagai bandar raya Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Prang Besar pada asalnya ladang kelapa sawit dan getah.

Kawasan ini dibuka pada 1918 dan merupakan anugerah daripada kerajaan British kepada sekumpulan bekas anggota tentera British yang berjasa dan terselamat sewaktu Perang Dunia Pertama. Secara perkongsian, mereka membuka estet tersebut. Sebelum dikenali dengan Prang Besar, kawasan ini dikenali sebagai Air Hitam. Nama Prang Besar diberikan oleh orang British apabila mereka membuka estet itu. Nama ini bersempena dengan Perang Dunia Pertama yang pada masa itu dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Perang Besar. Ketika awal pembukaannya, estet ini hanya berkeluasan 800 ekar dan berkembang menjadi 8000 ekar melalui pembelian estet di sekelilingnya, seperti Estet Raja Alang, Estet Galloway dan Estet Bukit Prang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Hantar Maklum Balas