Cengal Pasir

Oleh Hashim Latiff

SELEPAS hujan berhenti, Ngah mengambil serawan tali sebesar ibu jari kaki orang dewasa dan sebilah kapak bermata tajam. Dia hendak ke hilir kampung. Dia hendak mengambil upah menebang pokok cengal pasir yang berusia hampir 50 tahun itu. Pokok itu berumbi sebesar tiga pemeluk orang dewasa dan tinggi melangit melepasi kampung. Warga petani dan nelayan menjadikan pokok itu sebagai penanda kampung. Kalau mereka tidak tahu akan jalan untuk pulang ke kampung, mereka akan mencari pokok cengal pasir itu. Pokok itu kepunyaan Ayah Nik. Pada peringkat permulaan, Ayah Nik meminta Abang Jidin menebang pokok itu. Namun begitu, Abang Jidin sibuk. Dia ke kampung Alur Pak Ronik. Dia hendak menebang pokok kuin di sana. Kemudian Ayah Nik bertemu dengan Pak Teh Mail. Pak Teh Mail juga tidak ada masa. Dia sudah berjanji dengan Tuk Ketua Hassan hendak ke Tak Bai, menziarahi warisnya yang sakit di sana. Akhirnya dia meminta pertolongan daripada Ngah.

Ngah tidak ada masalah untuk menjalankan kerja sedemikian. Cukup mudah. Namun begitu, jika tidak ada pengalaman dan keberanian, kerja yang senang menjadi payah dan sukar, apalagi apabila ditugaskan untuk mengerat batang kelapa tanpa menumbangkan pokok itu. Namun demikian, bagi Ngah, semua itu sudah menjadi asam garam buatnya. Tidak ada keresahan atau ketakutan merimbun di dalam dirinya untuk menjalankan kerja mencari seraup rezeki yang halal. Peluhnya yang jatuh bertaburan di dada bumi ialah kerajinannya. Urat yang timbul di lengannya ketika mengerat kayu atau batang kelapa ialah keikhlasan dan ketulusan hatinya. Apa-apa yang dilakukan bukan untuk dirinya, tetapi buat adiknya yang masih di alam pengajian.

“Baik engkau cari kerja lain, Ngah. Inikan kerja bahaya. Sudah banyak yang maut dibidas serpihan kayu sewaktu membuat kerja menebang pokok ini!” resah nada suara Umar ketika mereka bertemu di hujung sawah.

“Nak cari kerja apa lagi? Nak suruh aku jadi kuli panjat bukit kandar getah?” Ngah membalas kata-kata Umar. Dia masih mengasah mata kapak. “Tapi…” Umar gantung pertanyaan di situ. “Umar, adik aku sedang belajar di pusat pengajian tinggi. Dia memerlukan wang belanja. Rebah bangun, aku kena bantu dia!” tekad Ngah.

“Dengan mempertaruhkan nyawa engkau?” tanya Umar. Ngah mengangguk. Dia berhenti mengasah mata kapak. Dia merenung jauh ke hadapan. Dia tidak merungut meskipun sudah menjadi yatim piatu pada usia remaja.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2016)

Hantar Maklum Balas