Kita Mudah Dilencongkan

Home » Nota Editor » Kita Mudah Dilencongkan

Haziah Che Husin

MELEWATI susur siar kaki di KLCC baru-baru ini membuka mata fikir penulis untuk berkongsi rasa. Di sudut rehat KLCC, di bawah teduh pohon cempaka merah, kelihatan adik kecil bersama-sama kumpulannya (yang rasanya hanya murid tahun empat) sedang memicit sebatang rokok yang agak-agak penulis berperisa mentol, kemudian disedut sambil mendongak ke langit. Lalu dilepaskan kepulan asap ke udara. Langkah penulis terhenti. Mata yang melihat terpaku. Rasa bangga keluar daripada kepulan asap tersebut. Belum habis di situ, diunjukkan rokok tersebut ke mulut rakan sebelah. Apabila melihat situasi ini, bukan rokok yang meraja di mata penulis. Tiada salahnya merokok di kawasan siar  kaki. Yang nampak janggalnya ialah umur batang tubuh yang melakukan aksi tersebut. Penulis berfikir akan arah dan tujuan hidup adik ini dalam susur menghadapi hidup yang penuh pancaroba dan tidak mengenal perikemanusiaan ini jika dimusnahkan harapan yang baru berputik dalam kehidupan mereka.

Rentetan daripada itu, penulis bercadang menulis perihal fokus kehidupan yang perlu dijentik judulnya supaya timbul kesedaran tentang kepentingan membina fokus kehidupan yang sepaptutnya bermula dari seawal usia adik yang meluangkan masa di siar kaki KLCC dengan melepak dan melakukan perbuatan kurang manis mata memandang. Apakah yang akan terjadi jika setiap individu tidak mempunyai fokus dalam kehidupan?

Lumrah kita sebagai manusia adalah mudah lalai. Kita sering hilang tumpuan kerana terlupa akan perkara yang baharu. Kebanyakan perkara baharu itu, pada hakikatnya, tidaklah begitu penting dan sekadar berbentuk gangguan.

Walaupun pada awalnya kita tahu akan keutamaan diri sendiri, ketika melaksanakannya, kita tertipu dengan diri sendiri yang mengatakan bahawa terdapat perkara lain yang perlu didahulukan. Bagi mengelakkan perkara ini daripada berlaku, sentiasa ingatkan diri kepada tujuan asal. Mungkin kita memerlukan jam loceng yang berbunyi setiap jam untuk mengingatkan kita. Rangsangan visual atau fizikal dapat membantu kita mengingati fokus utama kita daripada melencong.

Sementara itu, sebab utama kita mudah dilencongkan ialah kita tidak merasakan tugasan utama itu penting. Kita gagal melihat kesan sekiranya kita gagal melaksanakannya malah, jika kegagalan bukanlah pilihan, kita akan bermati-matian mencapainya.

Kita boleh belajar untuk menjadi orang yang mempunyai fokus dalam kehidupan kita sendiri. Amat penting untuk kita mengetahui cara yang betul untuk fokus. Lebih fokus diri kita terhadap sesuatu yang dilakukan, lebih banyak masa yang kita ada. Lebih banyak hal yang dapat kita belajar dan menjadikan kita tidak mudah panik menjelang peristiwa penting dalam kehidupan.

Sebagai kesimpulannya, kita perlu menentukan sebab kita melakukan sesuatu dan kepentingan daripada perkara yang kita lakukan. Dengan mengetahui kedua-dua perkara ini, kita akan berusaha untuk terus kekal memberikan tumpuan kepada tugasan utama kita. Ada masanya kita perlu memotivasikan diri sendiri. Pasang niat dengan betul, persiapkan diri dengan keperluan dan penjadualan waktu amat penting. Walaupun tidak semestinya ketat, merancang apa-apa yang dibuat untuk menyusun kehidupan amat perlu bagi mengelakkan pembaziran masa. Pembaziran masa inilah yang membuatkan kita hilang fokus.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2016)

Hantar Maklum Balas