Membina Titik Fokus pada Diri

Home » Fokus » Membina Titik Fokus pada Diri

Oleh Noor Azam Abdul Rahman

PERIBAHASA Cina menyebut “menyimpang seinci, rugi seribu batu”. Peribahasa ini dengan tegasnya menggambarkan betapa pentingnya fokus semasa melakukan sesuatu tugasan. Apa-apa sahaja yang kita lakukan, sama ada perkara yang dilihat sebagai mudah seperti aktiviti riadah ataupun perkara yang sukar dan mencabar termasuklah mengulang kaji pelajaran dan menjawab peperiksaan, seharusnya diberi fokus yang baik. Fokus terhadap sesuatu perkara itu sangat penting kerana hasil yang diperoleh nanti ialah kesan daripada fokus yang kita berikan semasa menghasilkannya. Hal ini berkaitan dengan perkara yang kita lakukan seharian, yang juga memerlukan kebijaksanaan individu tersebut untuk menilai kepentingannya agar perkara yang dilakukan itu tidak membazirkan masa kerana hilang fokus. Walaupun kadang-kadang kita melihat nilai fokus ini sekadar perkara yang remeh sahaja, kesannya sangat besar terhadap kejayaan dan masa depan seseorang, terutamanya remaja.

Seperti yang sedia kita maklum, apa-apa yang kita lakukan hari ini ialah gambaran kehidupan kita pada masa akan datang. Begitu juga rangkai kata yang popular dalam kalangan pemimpin negara apabila berbicara tentang masa depan remaja, mereka akan mengucapkan bakal pemimpin negara akan datang boleh dilihat daripada personaliti golongan remaja pada masa sekarang. Dr. Yusuf Al-Qardhawi menyatakan bahawa jika ingin melihat masa depan sesebuah negara itu, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Rangkai kata seumpama ini telah biasa kita dengar, namun adakah kita memahami dan menilai makna sebenarnya?

Ungkapan yang popular seperti ini menggambarkan bahawa semua pihak sedar tentang kepentingan generasi muda yang akan mewarisi sesebuah negara pada masa depan. Oleh sebab itu, generasi pada hari ini wajib menyahut cabaran tersebut dengan melakukan aktiviti yang mampu menghasilkan kejayaan pada masa depan. Kejayaan tersebut pula hanya akan tercapai jika generasi hari ini bijak mengurus masa yang ada. Di sinilah kita dapat melihat betapa pentingnya diri kita, terutamanya remaja, untuk mengasuh diri sendiri agar sentiasa fokus ketika melakukan sesuatu perkara.

Dalam konteks hari ini, kebanyakan remaja terdiri daripada pelajar. Sama ada pelajar pada peringkat sekolah menengah rendah, sekolah menengah atas ataupun pengajian tinggi, semuanya mempunyai matlamat hidup masing-masing. Matlamat hidup amat penting untuk diberi perhatian oleh golongan muda agar perjalanan ke arah matlamat tersebut dapat diusahakan dengan teratur dan berkesan. Jika terdapat remaja yang masih belum mempunyai  matlamat hidup, maka disarankan agar mereka berfikir sejenak, renungkan masa depan dan kebolehan masing-masing untuk menentukan matlamat hidup yang jelas. Dengan matlamat hidup yang jelas, remaja akan lebih terarah untuk mementukan aktiviti yang akan diberi fokus utama ke arah kejayaan matlamat tersebut.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2016)

Hantar Maklum Balas