Anak Muda Mula Mendekati Puisi

Home » Jati Diri » Remaja Cemerlang » Anak Muda Mula Mendekati Puisi

Oleh Nur Intan Safinaz Amirrudin

PUISI merupakan genre sastera yang berisi ungkapan perasaan penyair yang mempunyai irama dan rima, serta diungkapkan dengan pemilihan kata yang cermat dan tepat. Karya sastera berbentuk puisi merupakan sarana komunikasi antara sasterawan dengan pembacanya. Puisi terbahagi kepada puisi tradisional dan puisi moden. Puisi tradisional mempunyai rima dan irama klasik, termasuklah syair, gurindam dan pantun, manakala puisi moden ialah sajak yang tidak terikat dengan apa-apa rima atau irama.

Za’ba mendefinisikan puisi atau karangan berangkap sebagai “khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukis kemanisan dan kecantikan bahasa dalam penulisan”. Definisi itu memperlihatkan dua ciri utama puisi. Yang pertamanya ialah sifat abstraknya, termasuklah kecantikan ataupun keindahan bahasa dan kemerduan bunyi. Yang keduanya ialah sifat konkritnya, struktur dasar yang merupakan binaan baris dalam rangkap, kedudukan suku kata dalam baris dan susunan rima. Kedua-dua ciri tersebut mempunyai hubung kait yang erat dengan tema dan kesannya kepada pembaca.

Puisi perlu memenuhi tiga ciri karya yang baik. Yang pertamanya, benar; pemuisi atau penulis puisi perlu menyatakan atau menegakkan kebenaran dalam karyanya. Yang keduanya, berfaedah; penulis perlu menerapkan nilai murni dan elemen yang berfaedah dalam puisi bagi memberikan manfaat kepada pembaca atau pendengar. Yang ketiganya, indah; penulis puisi perlu berfikiran kreatif dan kritikal ketika membuat pemilihan perkataan yang bersesuaian dan tidak bercanggah dengan norma masyarakat Timur. Penulis perlu menggunakan bahasa yang indah dan sopan serta mempamerkan ketinggian nilai budaya Melayu yang kaya dengan adab tatasusila.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2016)

 

Hantar Maklum Balas