Parlimen

Home » Jati Diri » Arkib Negara » Parlimen

Oleh Hasfiza Abdullah

Pembinaan kompleks bangunan Parlimen yang menjadi lambang keagungan demokrasi berparlimen di Malaysia diilhamkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Sebelum bangunan Parlimen yang ada seperti sekarang ini dibina, persidangan pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman. Persidangan yang berlangsung pada 11 September 1959 ini julung kali diadakan dan dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,

Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Mohamed. Dewan yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, ini dibina pada 1935. Asalnya dimiliki Eu Tong Seng, pelombong dan pengusaha ladang getah yang kaya serta terkenal di Kuala Lumpur. Dewan Tunku Abdul Rahman kini dikenali sebagai Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC).

Pembinaan bangunan Parlimen bermula pada 1959. Jabatan Kerja Raya, dan Kementerian Kerja Raya, Pos dan Talikom, diarahkan oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk menyelenggarakan kerja mereka bentuk dan membina bangunan Parlimen yang baharu. Pada bulan Disember 1959, kawasan berbukit dengan ketinggian 61 meter dari aras laut dan berkeluasan 16.2 hektar, terletak di arah timur laut Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, dipilih sebagai lokasi kompleks bangunan Parlimen. Kawasan ini dipilih kerana lokasinya yang strategik, iaitu terletak di atas bukit dan berhampiran dengan pusat bandar raya.

Hantar Maklum Balas