SEDERHANA DALAM MEMUKAU

Home » Nukilan Kreatif » Ulasan Puisi » SEDERHANA DALAM MEMUKAU

Oleh MAHAYA MOHD. YASSIN

Mahaya Mohd. Yassin mantan pensyarah di Maktab Perguruan Raja Melewar dan kini Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). Beliau juga merupakan penyair mapan tanah air yang kerap memenangi anugerah dan hadiah sastera.

Lapan buah sajak yang menyerikan halaman Puisi Siswa kali ini menggambarkan perkembangan normal diri penyajak muda. Mereka mempunyai visi dan misi, menikmati kemajuan terkini serta dilanda perasaan cinta.

Sajak “Harapan” dan “Turapan Harapanmembawa hasrat yang amat besar. Sebagai remaja, kedua-dua penyajak ini amat prihatin akan hal persekitaran yang menuntut penglibatan mereka. Dalam “Harapan”, penyajak terasa amat bersimpati akan nasib seseorang.

budak kecil…

bekas luka masih berdarah…

masih memegang cawan usang

meraih simpati

Usaha budak yang diherdik dan dicederakan itu amat mulia. Harapannya, dengan wang sedekah yang akan diperoleh, dapatlah digunakan untuk mengubati penyakit ibunya. Keseluruhan sajak ini mudah, padat dan menarik. Kata-kata yang biasa, tetapi tepat penggunaannya, memang memukau. Sikap optimis budak kecil pun meyakinkan. Kata penyajak sering kali dan terukir senyuman waja berjaya meraih simpati pembaca. Meskipun dalam kesukaran, dia tetap tersenyum. Itulah tanda keikhlasan budak tersebut.

Apabila diamati, rangkap pertama terasa tidak perlu. Citra yang terungkap dalam rangkap ini tidak seimbang dan berkesinambungan dengan hal yang terdapat dalam ketiga-tiga rangkap yang seterusnya. Mungkin penyajak mahu menggambarkan harapan pengemis kecil yang disandarkannya kepada ihsan orang ramai. Namun, kata kilat, menghalilintar, titis air dan membasahi bumi terasa berlebih-lebihan atau berat berbanding dengan citra lain dalam keseluruhan sajak.

Hantar Maklum Balas