Cabaran dan Halangan Semasa Transisi Remaja

Home » Fokus » Cabaran dan Halangan Semasa Transisi Remaja

Oleh Md Nizar Parman

ZAMAN remaja sering kali dikaitkan dengan alam yang penuh pancaroba kerana inilah alam yang perlu dilalui oleh setiap insan sebelum menginjak ke alam dewasa. Ahli psikologi memberikan takrifan yang berbeza-beza tentang usia sebenar bagi remaja. Ada ahli psikologi menyatakan bahawa usia remaja dalam lingkungan 11 hingga 19 tahun. Ada juga yang mengatakan usia remaja daripada umur 15 hingga 25 tahun dan berlanjutan hingga 30 tahun.

Walaupun ahli psikologi mengkategorikan usia remaja ini dalam garis usia yang berbeza-beza, kita dapat membuat kesimpulan bahawa usia remaja merupakan fasa usia daripada umur belasan tahun hinga umur 20-an. Usia remaja merupakan fasa perubahan atau transisi kanak-kanak kepada remaja sebelum mereka menjadi dewasa. Jika merujuk peta aliran, kita akan dapat melihat letaknya alam remaja dengan lebih jelas.

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan remaja sebagai mulai dewasa, sudah akil baligh, atau sudah cukup umur untuk berkahwin. Perkataan remaja dikatakan berasal daripada perkataan Latin, iaitu adolensence, yang membawa maksud tumbuh atau tumbuh menjadi dewasa. Hurlock, ahli psikologi, menjelaskan bahawa proses ini mencakupi konteks yang luas, termasuklah kematangan mental, fizikal dan emosi. Ketika usia remaja inilah sifat peralihan akan ketara dengan lebih jelas. Pada masa ini, remaja berkembang daripada kanak-kanak menjadi orang yang lebih sempurna sifatnya, sama ada dari segi rohani, jasmani, emosi ataupun fizikalnya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2016)

Hantar Maklum Balas