MATA PELAJARAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DI SEKOLAH MENE

Home » Khas » MATA PELAJARAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DI SEKOLAH MENE

Oleh MUHAMMAD AIMAN AZAHAN

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, tentang pengajaran mata pelajaran Sejarah pada peringkat sekolah rendah merupakan perkembangan positif pendidikan negara dalam usaha menanam semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.

Langkah ini memberikan kesan positif terhadap pembinaan negara bangsa. Selain itu, hal ini merupakan langkah proaktif yang melengkapkan manfaat yang diperoleh daripada pengajaran mata pelajaran Sejarah. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat perbezaan cara berfikir antara kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Ketika mempelajari mata pelajaran Sejarah, para pelajar terdorong berfikir tentang masa lalu dan mengambil iktibar serta pengajaran daripada tindakan masyarakat pada waktu itu. Sebaliknya, ketika mempelajari Perlembagaan Persekutuan, para pelajar diajak berfikir tentang undang-undang yang menjadi tulang belakang dan segala akta yang mengawal negara ini.

Persoalan yang timbul tentang pemupukan semangat patriotisme ialah bagaimanakah hendak mengukurnya? Adakah dengan mengibarkan Jalur Gemilang sudah cukup untuk melabelkan seseorang itu sebagai patriotik? Jika itulah pengukurnya, kita perlu melihat realiti masyarakat pada hari ini.

Dewasa ini, Jalur Gemilang hanya dikibarkan pada hari sambutan ulang tahun kemerdekaan. Selepas itu, Jalur Gemilang jarang-jarang dikibarkan. Begitu juga pada peringkat sekolah, pelajar hanya bersemangat mengibarkan jalur gemilang pada masa sambutan tersebut dijalankan sahaja, itu pun selepas dipaksa oleh guru. Apabila mereka pulang ke rumah, semangat itu hilang begitu sahaja, sedangkan semangat patriotisme ini perlulah sentiasa kekal dalam jiwa pelajar pada setiap masa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Hantar Maklum Balas