FOTOGRAFI FESYEN

Home » Libur dan Rekreasi » Lensa Siswa » FOTOGRAFI FESYEN

Oleh YAMAN IBRAHIM

FOTOGRAFI fesyen merupakan genre fotografi yang memaparkan rangkaian pakaian dan perhiasan yang berkaitan dengannya. Contohnya, barangan aksesori, seperti gelang, rantai, kaca mata dan kasut. Fotografi fesyen ini biasanya lebih menjurus untuk pengiklanan serta komersial. Namun begitu, terdapat fotografi fesyen yang dibuat untuk kegunaan khusus dalam majalah fesyen atau majalah hiburan, seperti majalah antarabangsa Vogue, Vanity Fair atau Elle. Di negara kita pula, majalah yang banyak memaparkan fotografi fesyen seperti majalah Glam, EH! dan Maskulin.

Jurugambar fesyen secara tradisinya menggunakan studio sebagai lokasi penggambarannya. Namun, kini dengan perubahan zaman dan teknologi kamera yang semakin canggih, banyak hasil jurufoto fesyen yang bagus diperoleh melalui penggambaran di luar studio, diambil di lokasi yang cantik serta eksotik di serata dunia. Jurugambar fesyen kini menggunakan latar tempat yang pelbagai, seperti pantai, tanah tinggi, hutan dan jalan raya, malahan padang pasir yang kontang pun boleh dijadikan latar penggambaran fotografi fesyen.

Banyak jurugambar fesyen terkenal dunia berasal dari Barat, seperti mendiang Richard Avedon yang dikatakan salah seorang jurufoto fesyen penting dunia. Karya fotonya banyak dipamerkan di muzium seni di Amerika Syarikat dan Eropah. Kini, beberapa nama besar dalam genre fotografi fesyen ini seperti Mario Testino, Patrick Demarchalier, Peter Lindbergh dan Annie Leibovitz. Sekadar menyebut beberapa nama, banyak lagi jurufoto fesyen yang terkenal datang dari benua Eropah serta Asia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Hantar Maklum Balas