Empat Langkah Membaca Buku dengan Lebih Berkesan

Home » Jati Diri » Motivasi Diri » Empat Langkah Membaca Buku dengan Lebih Berkesan

Oleh Osman Affan

“Pelajar yang membaca ialah pelajar yang berfikir. Pelajar yang berfikir ialah pelajar yang berjaya. Pelajar yang berjaya boleh mencapai apa-apa sahaja dalam hidupnya.” ~Osman Affan~

Sungguh pantas masa berlalu. Sedar tidak sedar, tahun baharu menjelma lagi. Perkara popular yang dilakukan pada awal tahun ialah menetapkan azam baharu atau matlamat baharu untuk apa-apa yang mahu dicapai pada tahun ini. Namun demikian, apa kata kita mulakan tahun ini dengan sesuatu yang berbeza?  Apa kata kita mulakan tahun ini dengan menguasai satu kemahiran penting yang selalu diabaikan oleh pelajar? Kemahiran itu ialah strategi untuk membaca buku dengan lebih berkesan.

Bagi kebanyakan pelajar, membaca buku atau majalah bukanlah perkara yang sukar. Mereka sudah mula membaca sejak kecil lagi. Namun demikian, yang menjadi masalah ialah kebanyakan pelajar mudah lupa akan apa-apa yang telah dibaca dan mudah hilang fokus semasa membaca, terutamanya semasa membaca buku yang tebal. Jadi, mari kita pelajari empat langkah untuk membaca buku dengan lebih berkesan.

Langkah pertama, sebelum anda membaca buku, majalah, artikel atau apa-apa bahan bacaan, penuhkan minda anda dengan soalan. Tanya diri anda beberapa soalan yang berkaitan dengan apa-apa yang bakal anda baca. Sebagai contoh, jika anda sedang membaca buku sejarah topik kemerdekaan, tanya diri anda apa-apa yang anda tahu tentang topik tersebut. Soal diri anda, apa maksud kemerdekaan, apa berlaku sebelum kemerdekaan, siapa yang merdeka, dan siapa yang menjajah? Lebih baik lagi, lihat soalan yang ada di bahagian soalan topikal buku tersebut.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2017)

Hantar Maklum Balas