Mawar IBU

Oleh Nor Hafiza Selamat

Jauh di sanubari hati, air mata bergenang tatkala mengimbau peristiwa yang saban tahun berlalu. Di perkampungan Jertih, Terengganu, angin mengusap pipi dengan lembut, udara yang dihirup terasa nyaman menandakan bahawa dia masih bertahan sehingga sekarang. Waktunya ditemani hanya dengan kicauan burung yang riang melayangkan sayap secara berkelompok. Kehidupan burung itu jauh berbeza daripada dirinya yang tinggal bersendirian hanya bertemankan memori yang sarat dengan ranjau dalam menjalani kehidupan. Walaupun hanya bertemankan memori, dirinya sering mendekatkan diri kepada Allah yang Satu. Setiap kali selesai solat, doa dititipkan buat insan tersayang yang pernah singgah menyinari hidupnya walaupun hanya seketika. Air mata juga jatuh berguguran memohon ampun kepada Allah supaya hidupnya sentiasa di bawah keredaan-Nya.

          Sejurus selepas solat asar, dia duduk berteleku di hujung katil. Peristiwa lama itu ligat bermain dalam ingatannya. Hakimi, Hakimi dan Hakimi. Kenangan yang manis dan tidak akan dilupakannya kerana pengakhirannya disudahi tragedi pahit. Hasil perkahwinannya, Siti Baiduri dan Hakimi Adam Song, terasa kebahagiaannya walaupun mereka duduk jauh daripada keluarga dan menetap di rantau orang. Hakimi anak kelahiran Sabah dan bekerja di sana sebagai kelasi kapal.  Hidupnya enam bulan di lautan dan enam bulan lagi di darat, iaitu bersama-sama isteri tercinta. Oleh hal yang demikian, dia, iaitu Siti Baiduri, terpaksa akur berjauhan dengan keluarganya kerana sudah memang menjadi kewajipannya untuk berada di sisi suaminya.

Hakimi berasa amat gembira kerana dirinya sentiasa dalam keadaan yang tenang sejak beristerikan Siti Baiduri. Hidup mereka bertambah serinya apabila Siti Baiduri disahkan mengandung. Namun demikian, apakan daya? Detik manis yang sepatutnya mereka kongsi bersama-sama terpaksa dilepaskan begitu sahaja kerana tugas Hakimi untuk berkhidmat di lautan sudah bermula. Berat sahaja hatinya untuk meninggalkan Siti Baiduri. Sebelum berangkat, Hakimi sempat memberikan kucup mesra di ubun rambut isterinya. Siti Baiduri terasa bahagianya untuk bersama-sama Hakimi, suami tercinta, amatlah singkat.

***

Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2017

 

Hantar Maklum Balas