Berhati-hati Memilih Rakan Sebaya

Home » Nota Editor » Berhati-hati Memilih Rakan Sebaya

Rakan sebaya dan keluarga merupakan dua dunia sosial tempat seseorang itu bergaul. Apabila berada di rumah, seseorang itu akan bergaul dengan keluarganya yang terdiri daripada ibu bapa dan adik-beradiknya. Apabila seseorang itu berada di luar rumah, dia akan bergaul dengan rakan sebaya.

          Rakan sebaya merupakan kumpulan remaja yang sama dari segi umur, pendidikan atau kelas sosial dan minat. Kita sedia maklum bahawa remaja biasanya lebih gemar menghabiskan masa bersama-sama rakan sebaya mereka. Bagi remaja, rakan sebaya terdiri daripada sekumpulan besar rakan mereka yang sama umur, kelas, jiran atau rakan sekerja. Rakan sebaya memainkan peranan penting dalam kehidupan pelajar. Cara sifat dan tingkah laku remaja tersebut ditunjukkan, maka begitulah juga sifat dan tingkah laku rakan sebaya mereka. Remaja cenderung untuk meniru setiap tingkah laku rakan sebaya mereka.

          Selain itu, rakan sebaya juga merupakan agen sosial yang berpengaruh dalam pembentukan sikap dan akhlak individu kerana mereka merupakan kelompok rujukan bagi remaja dalam tingkah laku mereka. Remaja akan mengubah suai dan mengadaptasikan nilai rakan sebayanya untuk mendapat penerimaan dan pengakuran daripada kumpulan rakan sebaya yang diikuti. Hal ini dikatakan demikian kerana rakan sebaya dapat mencorak personaliti individu tertentu. Dengan mencontohi rakan sebayanya, remaja akan dapat belajar tingkah laku baharu yang cuba diserap dan disesuaikan pula dalam personalitinya. Oleh itu, pemilihan rakan sebaya sangat penting.

                     Rakan sebaya boleh memberikan pengaruh yang positif atau kebaikan antara satu sama lain dan kadangkala boleh mempengaruhi bentuk yang negatif atau kejahatan. Rakan sebaya yang terdiri daripada pelajar yang baik akan terlibat dalam aktiviti yang lebih memberikan kesan positif kepada rakan yang lain, seperti pelibatan dalam aktiviti kokurikulum dan aktiviti meningkatkan kemahiran diri, manakala rakan sebaya daripada kalangan pelajar yang bermasalah akan memberikan kesan yang sama kepada rakan yang lain.

          Tingkah laku remaja banyak dipengaruhi oleh rakan sebaya. Oleh itu, remaja seharusnya bijak memilih rakan sebaya yang boleh menjadikan mereka remaja cemerlang baik dari segi akademik dan tingkah laku. Seharusnya, mereka mencari rakan sebaya yang boleh dijadikan “kawan”, bukannya “lawan”. Kesilapan remaja memilih rakan sebaya akan menjebakkan remaja ke arah gejala sosial, seperti minum arak, kongsi gelap, samseng, menghisap rokok, dadah dan buli.

          Oleh itu, rakan sebaya memainkan peranan yang penting dalam konteks menentukan arah kehidupan kita. Kita hendaklah berhati-hati ketika memilih rakan sebaya. Bukan semua rakan sebaya patut dijadikan kawan kerana akan ada yang mempengaruhi kita ke arah kebaikan dan akan ada yang mempengaruhi kita ke arah kejahatan. Sama ada berperanan sebagai kawan ataupun lawan, pilihlah rakan dengan bijaknya. Kesilapan memilih rakan sebaya pasti akan mengakibatkan keruntuhan akhlak, gejala sosial yang berleluasa, dan kemerosotan disiplin. Ingatlah, rakan ketawa mudah dicari, rakan menangis sukar dicari.

Norsuhaila Ibrahim

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2017)

Hantar Maklum Balas