Batu Road Kuala Lumpur

Home » Jati Diri » Arkib Negara » Batu Road Kuala Lumpur

Oleh   Nurzuliana Kamaruzaman, Arkib Negara Malaysia

 Sejarah kewujudan dan pembinaan Batu Road atau Jalan Batu bermula pada akhir abad ke-19. Nama Batu Road diambil daripada nama sebuah kawasan “batu” yang terdapat perkampungan, gua batu kapur dan lombong bijih timah. Dalam tahun 1930-an, paya, sawah padi, dan ladang kelapa sekitar Batu Road telah dibangunkan dan menjadi pusat pembangunan komersial yang menjadikan jalan tersebut yang paling sibuk di bandar ketika itu.

Sejarah membuktikan bahawa pemilik hartanah dan peniaga di sekitar kawasan Batu Road terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik, seperti Melayu, India (Muslim, Sikh dan Hindu), Sri Lanka, Cina dan British. Setiap kaum memperdagangkan barangan dan perkhidmatan seperti kedai jahit, restoran, barangan runcit, hotel dan panggung wayang.

          Melalui pembinaan Batu Road inilah, bangunan batu dan jalan raya berbatu dibina. Ada pendapat yang menyatakan bahawa pemandangan dari Batu Road menampakkan Gua Batu (Batu Caves) yang terletak di utara dengan jelasnya. Pendapat mengenai “batu” ini menimbulkan pelbagai andaian dan spekulasi yang dikaitkan dengan nama jalan ini.

Pada ketika itu, Batu Road bermula dari persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja yang berdekatan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hingga persimpangan bulatan Jalan Pahang dan Jalan Ipoh. Batu Road juga terkenal sebagai pusat tumpuan orang ramai membeli-belah kerana terdapat banyak deretan kedai yang menjual pelbagai perkhidmatan dan barangan keperluan yang datang dari dalam dan luar negara. Pada awalnya, kedai ini dibina oleh orang Inggeris, melalui Jabatan Kerja Raya, dan tauke Cina. Kepelbagaian barangan jualan di Batu Road ini menarik banyak pengunjung dan pembeli.

          Pada awalnya, Batu Road dan sekitar kawasannya (Kuala Lumpur) hanya terdiri daripada rumah kedai yang dibina daripada kayu dan berbumbung atap. Bermula pada tahun 1880-an, bangunan ini dibina dengan menggunakan simen dan batu. Batu Road dan sekitar kawasannya mula menampakkan pertambahan dengan aktiviti pembangunan dari masa ke masa melalui pembinaan banyak rumah kediaman dan kedai. Berikutan itu, kemudahan, seperti tempat pejalan kaki (jalan kaki lima), mula dibina dengan lebih teratur dan berbumbung di sepanjang deretan kedai di Batu Road.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2017)

Hantar Maklum Balas