Rakan Sebaya sebagai Agen Kawalan Sosial Remaja

Home » Fokus » Rakan Sebaya sebagai Agen Kawalan Sosial Remaja

Oleh   Zulfazlan Jumrah

RAKAN sebaya boleh didefinisikan sebagai sekumpulan kanak-kanak, remaja, orang dewasa, atau warga tua yang hampir sama dari segi umur, pendidikan atau kelas sosial, dan minat. Kita sedia maklum bahawa biasanya kelompok ini lebih gemar menghabiskan masa bersama-sama sahabat yang mempunyai julat umur yang sebaya dengan mereka.

Untuk remaja, rakan sebaya terdiri daripada sekumpulan besar rakan mereka yang hampir sama umur, kelas, jiran atau rakan sekerja. Rakan sebaya memainkan peranan penting dalam kehidupan remaja. Remaja lazimnya menggunakan rakan sebaya sebagai panduan apabila menilai dirinya sendiri dari segi tingkah laku, personaliti, kemahiran serta kebolehan. Peranan rakan sebaya menjadi lanjutan kepada proses sosialisasi dalam keluarga. Kumpulan rakan sebaya dapat berfungsi sebagai penggantian jika perhubungan dengan ibu bapa tidak baik atau tegang. Pada kebiasaannya, sewaktu zaman kanak-kanak dan remaja, rakan sebaya mempunyai pengaruh yang besar terhadap pelajar. Segala gerak-geri dan tingkah laku akan ditiru atau diikuti oleh rakan sebayanya.

Menurut Quek Miow Leng, rakan sebaya turut berperanan dalam mempengaruhi pencapaian akademik pelajar. Rakan sebaya ini dapat mempengaruhi emosi remaja apabila mereka berada dalam sekelompok rakan sepermainan mereka. Rakan sebaya dalam kalangan remaja amat besar pengaruhnya sehingga semua sikap rakan sebaya mereka diikuti. Pelbagai persepsi masyarakat bahawa rakan sebaya hanya kuat pengaruh dalam hal negatif sahaja. Sejujurnya rakan sebaya boleh sahaja mempengaruhi rakan lain secara positif. Rakan sebaya yang memiliki sikap positif secara semula jadi dapat mempengaruhi rakannya yang lain agar membuat perkara yang positif atau perbuatan yang tidak sumbang pada mata masyarakat. Rakan sebaya harus memainkan peranan secara seimbang. Hal ini dikatakan demikian kerana pada usia remaja sebegini, jati diri dan pegangan hidup remaja mudah rapuh dek hempasan badai hidup yang bergelora.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2017)

Hantar Maklum Balas