Rakan Sebaya Cerminan kepada Remaja untuk Mendepani Gejala Sosial

Home » Fokus » Rakan Sebaya Cerminan kepada Remaja untuk Mendepani Gejala Sosial

Oleh  Azhar Salleh

Apabila memperkatakan atau menghuraikan permasalahan sosial dalam kalangan remaja, salah satu isu yang pasti akan menjadi agenda perbincangan ialah peranan atau faktor rakan sebaya yang memberikan dampak atau natijah yang sangat kuat, sama ada sebagai faktor pendorong ke arah berlakunya masalah sosial ataupun sebagai elemen penting dalam usaha untuk membendungnya. Rakan sebaya dapat diertikan sebagai sekumpulan orang yang berada dalam lingkungan umur yang sama atau hampir sebaya antara satu dengan yang lain. Menurut Klausmerier, dalam soal seperti tanggungjawab moral, keberanian, kejujuran dan kemesraan, remaja dipengaruhi oleh pendapat rakan sebaya yang memperlihatkan pengaruh yang lebih tinggi berbanding dengan ibu bapa atau keluarga.

Daripada pengertian ini, dapatlah disimpulkan bahawa pengaruh rakan sebaya terlalu dominan dalam pembentukan sahsiah dan keperibadian remaja pada hari ini sehingga mengatasi keupayaan ibu bapa untuk membina identiti dan akhlak anak mereka. Senario ini sudah pasti menimbulkan pergeseran dan konflik yang memungkinkan isu ini seolah-olah tiada kesudahan dan titik noktahnya.

Pengaruh daripada rakan sebaya telah menyebabkan remaja beralih arah daripada menjadikan ibu bapa sebagai suri teladan kepada rakan mereka yang dijadikan sandaran atau petunjuk ke arah tingkah laku atau perbuatan yang dilakukan. Remaja didapati lebih berkecenderungan untuk menjadikan rakan sebaya sebagai rujukan atau model untuk membina keperibadian mereka. Sekiranya mereka bergaul dengan kumpulan rakan yang positif dalam semua aspek kehidupan, maka tidak mustahillah mereka akan memiliki mentaliti dan tingkah laku yang positif juga kerana pengaruh rakan yang baik itu telah meresap dalam jiwa mereka. Namun demikian, yang dibimbangkan pada hari ini ialah pengaruh negatif yang lebih mendominasi persekitaran dan seluruh kehidupan remaja yang menyebabkan timbulnya masalah kebejatan sosial yang menjadi duri dalam daging kepada masyarakat dan negara dalam usaha kita untuk mewariskan kepemimpinan nusa yang berkualiti dan dinamik kepada remaja pada masa akan datang.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2017)

Hantar Maklum Balas