Beringat-ingat Dahulu, Bersenang-senang Kemudian

Home » Nota Editor » Beringat-ingat Dahulu, Bersenang-senang Kemudian

Tidak dinafikan bahawa wang merupakan medium yang sangat penting dalam kehidupan harian kita. Namun demikian, kesilapan ketika mengurus wang akan mengundang padah kepada diri, terutamanya remaja. Golongan remaja seharusnya bijak ketika mengurus kewangan mereka untuk kesenangan pada kemudian hari. Kita sering kali akur tentang kepentingan mengurus kewangan dengan bijaknya kerana setiap daripada kita mempunyai sumber kewangan yang terhad. Namun begitu, disiplin diri harus diutamakan bagi memastikan setiap perancangan kewangan yang dibuat dapat dilaksanakan.

          Banyak masalah berlaku dalam masyarakat kerana wang. Amalan dan pengurusan kewangan yang betul seharusnya dilaksanakan oleh remaja agar masalah tidak berlaku pada kemudian hari. Perbelanjaan tidak sepatutnya melebihi pendapatan. Simpanan atau tabungan perlu dibuat dalam kehidupan harian. Aktiviti menyimpan bukan sahaja dilakukan dalam bentuk simpanan wang ringgit semata-mata, malahan boleh juga dalam bentuk pelaburan jangka panjang, seperti pelaburan dalam saham amanah atau hartanah.

          Ilmu pengurusan kewangan perlu dipelajari oleh golongan remaja. Kebanyakan daripada remaja mungkin masih belajar dan belum bekerja tetap. Maka, secara umumnya, mereka masih belum terdedah kepada pelbagai bentuk skim pinjaman atau pelaburan sedia ada. Namun begitu, mereka tetap akan dapat memanfaatkan ilmu pengurusan kewangan untuk kehidupan masa ini atau apabila dewasa kelak, khususnya dari sudut kelangsungan proses pendidikan mereka.

          Remaja yang bijak akan memikirkan masa hadapan pendidikan mereka kerana pendidikan mampu membawa mereka keluar daripada kancah kejahilan dan kemiskinan kepada tahap kehidupan yang lebih baik. Maka, remaja yang bijak akan berusaha menyimpan wang sedikit sebanyak yang termampu agar dapat menampung kos pendidikan peringkat tinggi mereka pada masa depan. Tambahan pula, unjuran kos pengajian peringkat tinggi dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa, di samping persaingan yang lebih sengit dalam permohonan biasiswa.

          Dari semasa ke semasa, remaja bakal memperoleh wang, sama ada daripada ibu bapa atau penjaga, melalui pekerjaan, bersempena dengan hari perayaan, pemberian biasiswa pelajaran, ataupun apa-apa jua sumber yang diharapkan halal dan berkat. Sebagai remaja, sememangnya terdapat kecenderungan untuk mereka membelanjakan wang yang dimiliki demi memenuhi keperluan atau kemahuan diri, apatah lagi dengan lambakan barangan jualan, sama ada di pusat beli-belah ataupun di alam maya. Oleh itu, dengan wang yang ada, remaja mempunyai pilihan untuk membelanjakannya atau menyimpannya. Maka, perkara yang perlu diberi perhatian oleh remaja ialah membuat keputusan yang bijak terhadap kewangan mereka.        

          Panduan menjayakan perancangan kewangan ialah setiap kali mempunyai duit berlebihan, jadikannya sebagai bahagian wang yang hendak disimpan atau mewujudkan akaun khas untuk simpanan. Hadkan penggunaan kad kredit, jika ada, daripada berbelanja secara berlebihan. Rancang kewangan dengan telitinya sebelum berbelanja. Elakkan berbelanja melebihi pendapatan. Tabungan khas untuk kecemasan juga perlu disediakan.

          Sebagai kesimpulannya, hal yang penting ialah pengurusan kewangan bijak merupakan amalan yang perlu ada pada setiap daripada kita, bermula seawal usia kanak-kanak, remaja sehingga dewasa. Remaja, khususnya, harus bijak merancang perbelanjaan sendiri demi memastikan keadaan kewangan masa depan yang kukuh. Pilihan terletak di tangan remaja, sama ada mengurus kewangan secara cekap dan kurang berisiko ataupun terperangkap dengan godaan perbelanjaan tanpa mengikut kemampuan diri. Remaja yang berjaya merancang kewangan yang baik semasa tempoh usia mudanya akan menjadi orang dewasa yang berjaya pada usia dewasanya nanti, seperti kata pepatah beringat-ingat dahulu, bersenang-senang kemudian.

Oleh Norsuhaila Ibrahim

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2017)

Hantar Maklum Balas