Remaja Aktif Bersukan

Home » Nota Editor » Remaja Aktif Bersukan

Oleh Norsuhaila Ibrahim

Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta tenaga yang dilakukan sama ada sebagai acara pertandingan, hiburan ataupun untuk mengisi masa lapang dan beriadah. Contoh aktiviti sukan yang agak popular pada masa ini ialah olahraga, renang, bola sepak, tenis, badminton dan skuasy. Tahukah anda bahawa memanah merupakan acara yang telah pun bermula sejak 20,000 tahun yang lalu. Fakta ini menunjukkan bahawa kegiatan sukan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia sejak bermulanya tamadun awal dunia.

          Inisiatif untuk memupuk minat masyarakat terhadap kegiatan bersukan ini harus bermula dari bangku sekolah lagi, khususnya dari peringkat remaja. Ibu bapa turut bertanggungjawab dalam usaha membentuk peribadi anak yang gemar bersukan sejak dari peringkat rebung lagi. Ibu bapa juga perlu mendorong dan menggalakkan anak mereka untuk menyertai kegiatan bersukan di sekolah. Di samping itu, ibu bapa perlu menjadi teladan kepada anak dengan membawa keluarga untuk melakukan aktiviti riadah pada hujung minggu agar anak memandang kegiatan bersukan itu sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.

          Banyak faedah yang diperoleh remaja sekiranya mereka aktif bersukan. Faedah bersukan yang utama ialah dapat mendisiplinkan diri. Hal ini dikatakan demikian kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Oleh itu, secara tidak langsung sukan turut membentuk disiplin diri remaja. Sukan juga penting bagi melahirkan remaja yang sihat, sama ada dari segi fizikal ataupun mental. Dengan kegiatan bersukan, remaja boleh membina tubuh badan yang sihat, cergas dan menarik. Hal ini dikatakan demikian kerana bersukan boleh menguatkan otot dan tulang serta menyihatkan badan dengan membakar lemak berlebihan dalam badan. Oleh itu, remaja yang aktif bersukan jarang-jarang mendapat demam dan selesema berbanding dengan rakan yang tidak bersukan          Kegiatan bersukan bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah sesuai dijadikan hobi dan boleh dilakukan dengan kawan atau keluarga pada setiap pagi, petang atau hujung minggu. Dengan mengisi masa lapang melalui kegiatan sukan, remaja bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kesihatan diri, malah mengelakkan diri daripada membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah, seperti bergayut berjam-jam lamanya di telefon, melepak di pusat beli-belah atau kafe siber, dan berbual dalam talian sepanjang masa. Bukan itu sahaja, remaja juga dapat menghindari masalah sosial, seperti merokok, penyalahgunaan dadah, lumba haram dan pergaulan bebas, yang kian meruncing dalam kalangan remaja belakangan ini. Oleh hal yang demikian, kegiatan bersukan bukan sahaja dapat dijadikan aktiviti masa lapang serta hobi, malah sebagai cara menyokong usaha kerajaan memerangi masalah keruntuhan akhlak remaja hari ini. Seterusnya, kegiatan bersukan juga penting untuk menyemai semangat permuafakatan dan kesukanan dalam kalangan remaja yang berbeza latar belakang. Hal ini dikatakan demikian kerana semua jenis sukan memerlukan pemainnya untuk berinteraksi antara satu sama lain yang boleh memupuk persefahaman dan menjalin ikatan silaturahim.

          Dewasa ini, kita dapat menyaksikan banyak orang yang telah menceburi bidang sukan pilihan mereka untuk dijadikan platform membina kerjaya. Sukan bukan sekadar riadah semata-mata kerana sukan juga merupakan bidang yang mampu menjanakan pulangan yang lumayan. Hal itu dapat dicapai sekiranya sukan diceburi secara serius. Impian itu bukanlah perkara yang tidak mampu direalisasikan sebagaimana yang dibuktikan oleh empat atlet paralimpik negara kita yang pulang dari Rio de Janeiro dengan tiga pingat emas dan satu pingat gangsa. Selain itu, sukan merupakan saluran paling berkesan bagi menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Aktiviti sukan sudah dilihat sebati dalam kalangan rakyat negara ini sejak kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Dalam acara sukan, atlet yang terdiri daripada pelbagai kaum bekerjasama untuk mencapai satu matlamat, iaitu memberikan kejayaan kepada pasukan, negeri atau negara yang diwakilinya.

          Kegiatan bersukan penting bagi mendisiplinkan diri, membentuk gaya hidup sihat, menghindari masalah sosial remaja, membangunkan potensi dalam diri remaja, menyemai semangat permuafakatan dan kesukanan dalam kalangan remaja yang berbeza latar belakang, menjadi platform membina kerjaya, dan menjadi saluran paling berkesan bagi menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Namun begitu, kebaikan dan kepentingan kegiatan bersukan yang telah dinyatakan sebelum ini tidak membawa erti apa-apa sekiranya tiada orang yang meminati sukan dan permainan. Walaupun terdapat segelintir remaja yang tidak meminati sukan dan tidak melibatkan diri dengan kegiatan kokurikulum, usaha untuk menarik minat golongan ini haruslah kekal berterusan, bak kata pepatah, “genggam bara api biar sampai jadi arang”. Jadikanlah kegiatan bersukan itu sebahagian daripada kehidupan kita.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2017)

Hantar Maklum Balas