Minda Kreatif Perlu Diasah dan Digilap

Home » Nota Editor » Minda Kreatif Perlu Diasah dan Digilap

Oleh Norsuhaila Ibrahim

Manusia dikurniai otak untuk berfikir. Daripada proses berfikir, datangnya maklumat dan ilmu. Berfikir juga menjadikan kita tahu tentang sesuatu perkara dan menyebabkan kita berpengetahuan. Kebanyakan daripada kita mempunyai otak yang amat bagus, tetapi tidak mampu untuk menggunakannya dengan sebaik-baik mungkin. Mungkin juga kebanyakan daripada kita menyangka bahawa otak yang selalu digunakan atau banyak berfikir lama-lama akan menjadi lesu dan penat, malah semakin susah untuk berfikir. Sebenarnya, jika lagi kerap otak digunakan untuk berfikir, maka otak akan menjadi lebih efisien dan lebih sihat. Hal ini sedemikian seperti pepatah “belakang parang, jika diasah hari-hari, lama-lama akan tajam sama seperti depan parang”. Semakin meningkat usia kita, maka semakin banyak otak kita digunakan untuk berfikir. 

          Kemahiran berfikir secara kreatif dapatlah ditakrifkan sebagai keupayaan minda dan pemikiran seseorang untuk meneroka pelbagai kemungkinan di luar konteks kebiasaan, melihat sesuatu dari sudut pandang yang berbeza, cekap menggunakan minda untuk menjanakan dan menghasilkan idea, mencipta sesuatu yang baharu, asli, luar biasa, pelbagai, dan bernilai, sama ada bersifat maujud, abstrak, idea ataupun gagasan, meneroka dan mencari makna, pemahaman dan penyelesaian masalah secara inovatif, serta seboleh-bolehnya bersedia untuk menghadapi pelbagai bentuk kemungkinan yang menyusul.

          Usia remaja merupakan antara waktu terbaik untuk membentuk dan membina kemahiran berfikir. Gilap fungsi akal supaya kreatif. Hasil daripada proses berfikir menyebabkan lahirnya aliran pemikiran. Aliran pemikiran berkaitan dengan fahaman dan keyakinan kita terhadap apa-apa perkara yang kita fikir dan meneliti serta menyaring apa-apa perkara yang difikirkan oleh orang lain. Gerakkan momentum otak supaya anda menjadi lebih kreatif untuk berfikir dan mampu mempunyai daya ingatan yang tajam. Sentiasa melatih otak anda agar anda menjadi orang yang kreatif bagi mencari jalan penyelesaian secara luar biasa. Banyakkan berfikir tentang idea yang baharu, seperti mencari alternatif untuk menyelesaikan sesuatu masalah melalui idea yang berbeza-beza. Sediakan buku nota kecil dan pen atau telefon bimbit walau di mana-mana sahaja anda berada untuk mencatatkan idea yang menarik dan luar biasa kerana pada kebiasaannya, ilham atau idea baharu sering muncul ketika anda belum bersedia, sama ada ketika anda berada dalam keadaan sibuk, beristirahat di taman permainan, ataupun sedang melancong.

Pihak sekolah juga hendaklah melaksanakan segala dasar pendidikan yang sentiasa menuntut perubahan dalam kalangan murid dan remaja. Pendidik yang memiliki ciri kreatif dan inovatif perlu memberikan didikan, bimbingan dan tunjuk ajar secara berterusan kepada pelajar. Antara aktiviti yang boleh mengembangkan kemahiran berfikir kreatif pelajar termasuklah sesi soal jawab, sumbang saran, permainan mengasah bakat, kuiz, teka-teki, perbahasan, membuat eksperimen, menyelesaikan sesuatu masalah dan mereka bentuk.

          Sebagai kesimpulannya, otak manusia dijadikan dengan amat sempurna dan banyak kelebihannya kerana manusia turut diberi akal fikiran yang membezakannya daripada makhluk yang lain. Oleh itu, teruskanlah berfikir dan sentiasa melatih otak anda memikirkan pelbagai idea baharu kerana sekiranya anda tidak menggunakan otak anda secara kerap, lama-kelamaan otak anda akan lesu dan kurang untuk berfikir dalam usaha mendapatkan pelbagai idea baharu.

 ***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2017)

Hantar Maklum Balas