Belia Pendukung Aspirasi Negara

Home » Nota Editor » Belia Pendukung Aspirasi Negara

Oleh Norsuhaila Ibrahim

Golongan anak muda merupakan aset pembangunan negara pada masa akan datang. Remaja dan belia diibaratkan sebagai tiang negara. Jika tiang teguh, maka negara akan kukuh. Tenaga dan peranan remaja sangat penting dalam pembangunan sosial, budaya, politik, sukan dan ekonomi negara. Remaja yang kuat mental dan fizikalnya akan dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Merekalah pelapis kepada kepemimpinan hari ini yang akan menerajui negara ke arah negara maju.

Transformasi Nasional 2050 (TN50) ialah satu daripada inisiatif dan usaha pembangunan negara jangka masa panjang dari tahun 2020 hingga 2050, iaitu selama tempoh 30 tahun, untuk membentuk masa hadapan Malaysia. Yang lebih menarik, mekanisme pelaksanaan aspirasi ini datangnya daripada suara pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya anak muda, yang akan menakhodai aspirasi negara pada masa hadapan.

          TN50 merupakan jawapan kepada segala persoalan yang dibangkitkan oleh anak muda di negara ini kerana keterbukaan gagasan ini untuk mendengar segala pandangan dan suara hati mereka. Untuk permulaan, anak muda perlu bergiat aktif dan hadir dalam siri Dialog Perdana yang diadakan dengan membawa fikiran yang rasional, persediaan rapi, serta cadangan yang bernas agar mereka dapat menyuarakan pendapat mereka dengan minda yang bebas dan terbuka. Dialog TN50 juga memainkan peranan yang penting kerana segala idea, cadangan, kritikan, pembaharuan, dan penambahbaikan daripada pungutan suara anak muda akan didengar dan menjadi medan terbaik bagi membantu kerajaan merangka dasar terbaik untuk generasi kini pada masa hadapan.

          TN50 dapat menyokong dasar kerajaan, khususnya yang melibatkan hala tuju untuk menjadikan Malaysia negara maju, berpendapatan tinggi, dan menyasarkan 20 kelompok teratas di tangga dunia dalam pelbagai bidang, mencakup aspek pembangunan dan penciptaan subbidang ekonomi, menyejahterakan kehidupan rakyat, dan membudayakan amalan inovasi dalam ekonomi, pembangunan sosial dan inovasi.

          TN50 melibatkan sektor yang lain selepas memulakan keterlibatan dengan generasi muda. Jadi, TN50 menjadi visi yang dapat dikongsi secara bersama, cetusan aspirasi yang didukung bersama, dan impian masa hadapan yang dicipta bersama oleh rakyat Malaysia dan bukan hanya dari kaca mata kerajaan semata-mata. Secara mudah, TN50 merupakan gagasan yang mencantumkan idea daripada seluruh rakyat Malaysia.

          Sebagai kesimpulannya, anak muda perlu bijak untuk menggunakan peluang yang ada bagi berkongsi idea dan kemahuan mereka menjelang tahun 2050 yang gemilang kelak kerana merekalah yang akan memiliki dan menakhodai bahtera aspirasi negara pada tahun itu.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2017)

Hantar Maklum Balas