Remaja aset pembangunan cemerlang negara

Home » Fokus » Remaja aset pembangunan cemerlang negara

Oleh   Aminudin Mansor

Secara umumnya, tenaga dan peranan remaja sangat penting dalam pembangunan sosial, budaya, politik, sukan dan ekonomi negara. Remaja yang kuat mental dan fizikalnya akan dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

          Asas pembentukan remaja bermula daripada pendidikan di sekolah rendah dan menengah. Melalui ilmu dan penguasaan kemahiran tinggi, murid akan memacu kecemerlangan dalam ilmu pengetahuan dan menguasai pelbagai kemahiran. Kalangan remaja juga perlu mendapat pendidikan dan tunjuk ajar yang baik daripada ibu bapa, guru dan ahli masyarakat agar tidak terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang boleh menghancurkan masa depan generasi muda.

          Remaja merupakan aset pembangunan negara pada masa akan datang. Merekalah pelapis kepada kepemimpinan hari ini yang akan menerajui negara ke arah negara maju. Oleh itu, persiapan ke arah kecemerlangan ilmu, akhlak dan pelbagai ilmu pengetahuan perlu dilakukan bermula dari sekarang.

          Dalam hal ini, murid yang akan menjadi remaja dan generasi muda yang berperanan untuk mencari ilmu pengetahuan agar dapat melahirkan manusia yang berilmu pengetahuan serta menjadi modal insan yang berkualiti kepada negara. Seterusnya, mereka menjadi remaja cemerlang dan menjadi tenaga kerja yang produktif, kreatif, dan berwawasan dalam pelbagai sektor. Negara juga tidak perlu mengimport tenaga profesional dari negara luar.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2017)

Hantar Maklum Balas