TUN V.T. SAMBANTHAN

Home » Jati Diri » Arkib Negara » TUN V.T. SAMBANTHAN

Oleh   Nurzuliana Kamaruzaman, Arkib Negara Malaysia

Sebagai penyokong dan pendukung ideologi Mahatma Gandhi, Chandra Bose dan Nehru, Tun V.T. Sambanthan, atau nama sebenarnya Veerasamy Thirunyana Sambanthan, ialah tokoh negara yang amat berpegang teguh pada nilai budaya dan keagamaan. Anak kedua pasangan Veerasamy dan Senggambal pada 16 Jun 1919 di Sungai Siput, Perak. Bapanya pemilik ladang getah dan ahli perniagaan terkenal di Sungai Siput yang juga memiliki rumah papan berseni bina tradisi Melayu yang terletak di Blues Road.

Tun V.T. Sambanthan menerima pendidikan awal dalam aliran bahasa Tamil sebelum melanjutkan pelajarannya di sekolah aliran bahasa Inggeris, Sekolah Menengah Clifford, di Kuala Kangsar. Setelah tamat Senior Cambridge, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di Universiti Annamalai, Chidambaran, Tamil Nadu, India. Beliau mula berjinak-jinak untuk mendalami hal ehwal politik sejak berada di universiti tersebut. Beliau menyertai gerakan Quit India yang menyokong gerakan nasionalisme menentang British di India.

Pada tahun 1946, Tun V.T. Sambanthan menerima berita kematian bapanya yang menyebabkan beliau terpaksa pulang ke Sungai Siput. Kepulangannya memberikan peluang untuk beliau turut membantu abang sulungnya mengurus perniagaan keluarga selain menyaksikan kedaifan dan hal ehwal buruh India di Tanah Melayu. Kemiskinan dan kedaifan buruh India yang dilihatnya itu membuatkan beliau menanam azam untuk membantu usaha meningkatkan taraf kehidupan buruh India. Keazaman beliau dibuktikan dengan menjalankan peranannya bagi menyediakan kemudahan pendidikan yang bermutu kepada anak buruh India, melalui penubuhan kelas bahasa Tamil dan Inggeris.

Hantar Maklum Balas