Permata Kota Bursa

Home » Libur dan Rekreasi » Rakaman Pengembara » Permata Kota Bursa

Oleh   Ade Irma Suryani Che’ Leh

Percutian penulis kali ini sangat istimewa kerana dapat melihat tinggalan kerajaan Uthmaniyah yang terkenal. Selebihnya penulis ini mahu menjejaki negara kelahiran Said Nursi Badiozaman, ulama Turki yang amat penulis ini kagumi. Biarpun tidak berkesempatan menziarahi daerah kelahiran tokoh tersohor itu, peluang menziarahi masjid lama seakan-akan mendekatkan penulis ini kepada perjuangannya.

          Destinasi pertama ialah Masjid Ulucami (cami, sebutannya jamek) atau Great Mosque, terletak di kota Bursa. Sekali pandang masjid ini tidak ubah seperti bangunan tua lain yang terdapat di merata Turki. Pun begitu, tanggapan itu berubah setelah melangkah masuk. Sebaik-baik sahaja melewati pintu utama, penulis ini bagaikan terpukau. “Subhanallah, cantiknya.” Terpacul ucapan kagum kala melihat keindahan kaligrafi khat pada setiap sudut, ruang, dinding dan tiang masjid itu. Lampu candelier klasik yang bergantungan menyimbah cahaya, diserikan dengan permaidani yang melatari seluruh ruang, melengkapkan rasa kagum yang mendalam. Penulis ini pasti bahawa sesiapa pun yang berkunjung ke sini mempunyai perasaan yang sama. Menurut cerita, kaligrafi itu diukir oleh pengukir yang mahir dalam seni tersebut sewaktu zaman Uthmaniyah. Ada pihak yang menyatakan bahawa terdapat 12 ribu kaligrafi khat di seluruh masjid berkenaan.

          Kemudian, pandangan penulis beralih kepada air pancur yang terletak di ruang tengah. Sekali lagi hal ini mengundang rasa teruja di hati ini. Keindahan seni bina dan hiasan dalamannya benar-benar memukau. Pancuran air ini bukan sahaja digunakan sebagai tempat berwuduk, bahkan berfungsi sebagai penyejuk ruang, terutama pada musim panas. Menurut cerita daripada masyarakat tempatan, tanah tempat air pancur itu pemberian seorang wanita Yahudi.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2017)

Hantar Maklum Balas