Identiti Remaja Cerminan Wajah Masyarakat

Home » Nota Editor » Identiti Remaja Cerminan Wajah Masyarakat

Oleh Khairul Anum Mohd Ali

Negara pernah digemparkan dengan tragedi lapan remaja berbasikal maut dirempuh sebuah kereta Nissan Almera yang dipandu oleh seorang gadis berusia 22 tahun. Tragedi berlaku pada 18 Februari 2017 pukul tiga pagi dan dalam kejadian yang sama, dua lagi remaja dilaporkan kritikal dan enam yang lain cedera. Kumpulan remaja berkenaan dalam lingkungan 20 hingga 30 orang yang berusia antara 13 hingga 17 tahun dipercayai berbasikal hingga menghalang Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah di Johor Bahru.

Alangkah sedih dan pilu hati ibu ayah yang menerima berita “pemergian” anak yang perginya secara mengejut begitu. Barangkali beberapa jam sebelum tragedi anak itu sempat makan malam bersama-sama keluarga atau barangkali sempat bersenda gurau atau menonton televisyen bersama-sama ahli keluarga.

Alam remaja merupakan gerbang dari zaman kanak-kanak untuk memasuki alam dewasa yang lebih mencabar. Pada zaman inilah kebiasaannya individu mencorakkan alam dewasanya. Remaja pada waktu ini sangat aktif untuk mencuba dan meneroka aktiviti kehidupan dalam proses pencarian identiti dirinya sendiri. Mereka cuba untuk menjadikan dirinya sebagai penyanyi, pelakon, peragawati, pereka atau apa-apa sahaja aspirasi kerjaya. Dalam proses perkembangan jiwa remaja, mereka akan dilihat bersifat sering memberontak. Perkara yang tidak memuaskan hati mereka akan diprotes. Hingga mewujudkan konflik dan krisis antara ibu bapa atau masyarakat sekeliling dengan remaja tersebut, dan akhirnya mereka akan lebih gemar menghabiskan masa bersama-sama rakan sebaya. Golongan remaja amat mempercayai bahawa rakan-rakan mereka lebih memahami kehendak dan kemahuan jiwa muda berbanding masyarakat di luar lingkungan mereka.

Pembentukan identiti remaja dipengaruhi oleh status perhubungan antara ibu bapa dengan remaja. Ibu bapa yang menawarkan kasih sayang, bimbingan dan suri teladan dalam keluarga akan melahirkan remaja yang unggul berperibadi mulia. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja yang lahir daripada keluarga sebegini akan lebih mendengar kata dan menghormati ibu bapanya. Walaupun kadang-kadang wujud konflik tetapi boleh bersikap tolak ansur kerana ibu bapa yang meraikan pendapat anak-anak serta menggalakkan anak-anak berdikari.

Pengaruh didikan agama juga memberikan kesan terhadap pembentukan identiti remaja. Remaja yang mempunyai pegangan agama yang kukuh lazimnya lebih beradab mulia dan bermoral selaras dengan ajaran agama itu sendiri. Remaja ini juga sering mengutamakan kehendak dan keperluan agama melebihi kehendak naluri diri sendiri.     

Berbalik kepada tragedi lapan remaja maut dirempuh kereta, persoalan yang mungkin berlegar-legar di minda ialah urusan apakah yang begitu penting untuk remaja terbabit bertemu rakan di luar rumah. Ibarat siang hari esok tidak bakal muncul hingga memaksa juga remaja terbabit keluar rumah bertemu rakan. Sedangkan waktu sudah menunjukkan pukul tiga pagi yang sepatutnya remaja itu berada di rumah beristirahat di samping ibu bapa dan keluarga.

Berkawan dan bersosial itu tidak menjadi satu kesalahan, namun dalam bergaul dan bersosial itu ada waktu dan ada sempadannya. Remaja mungkin keliru untuk menentukan hala tuju diri mereka, namun bimbingan daripada orang dewasa akan membantu mereka membuat keputusan.  

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2017)

Hantar Maklum Balas