Impian Abah

Oleh   Hafinie Yahya

Senyuman abah terukir manis di mata hatiku. Syahdu kian terasa setiap kali aku mengingati dan mengenang abah. Aku memandang sepi potret lama abah yang tergantung di dinding ruang tamu rumah. Masa bagaikan terhenti. Segalanya terasa kosong. Kenangan manis bersama-sama abah sentiasa berlegar dalam mindaku.

          Sudah sebulan abah pergi menemui Pencipta. Air mataku tidak dapat dibendung setiap kali wajah abah terbayang di ruang mata. Hari pertama aku mengenali dunia menjadi hari terakhir untuk arwah ibu. Ibu meninggal dunia setelah menyabung nyawa melahirkan aku. Perkara itu yang diceritakan oleh abah. Setelah peristiwa itu, abahlah segala-galanya bagi diriku. Kini, abah pula pergi. Hidupku sebatang kara. Aku hilang tempat mengadu.

          “Allahuakbar, Allahuakbar …” Kedengaran suara azan sayup berkumandang. Semakin lama semakin jelas kedengaran. Rupa-rupanya aku terlelap di bangku bambu abah. Biasanya waktu begini, abah akan marah kalau aku tidur. Tidak elok katanya tidur menjelang waktu maghrib. Aku tersenyum seorang diri mengingati abah. Setiap sudut dalam rumah ini mendesakku untuk mengimbau kembali kenangan bersama-sama abah.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2017)

Hantar Maklum Balas