MALAYAN UNION

Home » Jati Diri » Arkib Negara » MALAYAN UNION

Oleh   Nurzuliana Kamaruzaman, Arkib Negara Malaysia

Perubahan status Tanah Melayu daripada negeri naungan kepada negeri jajahan merupakan agenda British untuk menakluk dan memperkukuh pentadbirannya di Tanah Melayu. Rancangan utama Malayan Union adalah untuk menyatukan Negeri–negeri Selat, Negeri–negeri Melayu Bersekutu dan Negeri–negeri Melayu Tidak Bersekutu di bawah satu pentadbiran British yang diletakkan di bawah satu pemerintahan Kerajaan Pusat yang terletak di Kuala Lumpur dan diketuai oleh seorang Gabenor British. Manakala, Gabenor British ini pula akan dibantu oleh sebuah Majlis Mesyuarat Undangan dan Majlis Kerja. Kuasa Gabenor dilihat semakin besar dan meluas menandingi kuasa sultan dan raja-raja Melayu. Gabenor berkuasa melulus atau membatalkan sesuatu undang-undang dan semua undang-undang yang dikuatkuasakan tidak memerlukan tandatangan sultan.

          Melalui penubuhan Malayan Union, sultan dan raja-raja Melayu kehilangan takhta dan maruah sebagai pelindung kepada orang Melayu. Bahasa Inggeris menjadi sebagai bahasa utama untuk setiap urusan dan hal ini meminggirkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi. Hak kewarganegaraan yang sama diberikan kepada semua orang tanpa mengira kaum dan asal keturunan. Prinsip Jus Soli diketengahkan dengan menjadikan hak kewarganegaraan diletakkan sama rata antara kaum Melayu dengan kaum bukan Melayu. Penubuhan dan perlembagaan yang dibawa oleh Malayan Union ternyata lebih berpihak kepada British untuk mengukuhkan pemerintahan mereka di Tanah Melayu. Dasar terbuka yang dibawa oleh British dilihat akan mengancam status orang Melayu sebagai penduduk peribumi. Orang Melayu juga bimbang akan kehilangan warisan tamadun yang telah dibina oleh kerajaan Melayu seperti pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Justeru, Malayan Union mendapat bantahan keras daripada raja-raja Melayu, para ilmuwan dan penduduk Tanah Melayu yang akhirnya bangun menentang penubuhan Malayan Union.

***

(rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2017)

Hantar Maklum Balas