Persekitaran Membentuk Aura Positif Remaja

Home » Fokus » Persekitaran Membentuk Aura Positif Remaja

Oleh   Noraziah Mohd Amin

Aura ialah istilah yang berasal daripada perkataan bahasa Latin yang membawa maksud, angin atau nafas. Kamus Dewan Edisi Keempat mentafsirkan perkataan ini sebagai suasana atau perasaan halus yang menyelubungi seseorang atau sesuatu. Manakala kamus Cambridge Advanced Learner Edisi Ketiga mendefinisikan aura sebagai suatu perasaan atau karakter yang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu tempat. Artikel hasil tulisan Shafinaz Sheikh Maznan berjudul, “Aura Positif dan Negatif” (Utusan Malaysia, 2005), memetik definisi aura yang diberikan oleh pakar terapi aura, Dr. Ridzuan Noor yang menerangkan aura sebagai suatu medan tenaga yang hidup yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Aura juga digelar sebagai gelombang elektromagnetik jaluran tenaga atau wap air dalam warna-warni pelangi yang diserap. Aura turut dijelaskan sebagai pancaran tenaga di luar tubuh yang terhasil daripada proses metabolisme yang terjadi dalam tubuh sehingga membentuk pancaran gelombang tenaga yang terdiri daripada ion positif dan ion negatif. Shafinaz Sheikh Maznan berpendapat bahawa aura seseorang individu itu memancar dan berupaya mempengaruhi setiap orang di sekelilingnya. Kita akan berasa tidak selesa sekiranya aliran tenaga yang keluar bersifat negatif dan hal ini boleh dimanifestasikan dalam bentuk raut wajah tidak berseri yang ditonjolkan oleh seseorang itu.

          Prof. Dr. Muhaya Mohamad dalam rencananya “Membina Aura dan Pesona Diri Positif” (Utusan Malaysia, 2014) menjelaskan bahawa seseorang yang beraura positif senang didekati kerana aura positif yang terpancar di wajahnya akan menjadi magnet menarik perhatian orang lain untuk mendekati dirinya. Sebenarnya, setiap manusia mempunyai magnet dirinya yang tersendiri, yang mampu menjadi daya tarikan atau pesona diri kepada orang lain. Apa-apa imej dan reaksi yang terpancar pada wajah seseorang individu itu yang dipamerkan kepada orang lain itulah yang menjadi petanda jenis aura yang ada dalam dirinya. Aura ini dinamakan sebagai undang-undang getaran atau gelombang jiwa, iaitu dunia dalaman seseorang yang menentukan dunia luarannya. Dr. Ridzuan Noor menyatakan bahawa aura boleh menjadi positif atau negatif bergantung pada keadaan emosi, mental, fizikal dan tahap kerohanian seseorang. Beliau menerangkan lagi bahawa jika seseorang itu ditimpa sesuatu perkara yang membuatkannya berubah menjadi marah dan sebagainya, kebocoran aura positif telah berlaku terhadap dirinya dan keadaan ini akan menarik masuk gelombang negatif ke dalam tubuh. Hal yang sama juga berlaku jika diri dikuasai oleh aura positif. Menurut Dr. Ridzuan Noor juga, semua aura pada asalnya bersifat positif tetapi perasaan negatif seperti marah, sedih, putus asa, gelisah, hasad dengki dan stres dapat menukarkan aura positif kepada negatif. Selain itu, keadaan fizikal yang lemah disebabkan sakit, depresi atau keletihan dapat mengganggu lingkaran aura positif yang menyelubungi diri. Hal yang sedemikian boleh dipengaruhi oleh elemen dari luar atau dalaman seseorang individu itu sendiri. Berdasarkan teori penukaran aura positif kepada negatif ini, terdapat beberapa aspek dalam persekitaran remaja yang dapat menjana aura positif atau menguatkan aura tersebut yang terdapat dalam dirinya. Antaranya termasuklah ibu bapa, guru, rakan, kawasan tempat tinggal dan media massa.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2017)

Hantar Maklum Balas