Tekanan Bebanan Pelajaran, Ekonomi dan Persekitaran Remaja

Home » Fokus » Tekanan Bebanan Pelajaran, Ekonomi dan Persekitaran Remaja

Oleh   Noor Azam Abdul Rahman

Menjadi remaja pada waktu sekarang tentunya berbeza daripada keadaan remaja pada dua atau tiga dekad yang lalu. Perbezaan yang paling ketara berkaitan cabaran serta tekanan yang perlu dihadapi oleh remaja pada tahun-tahun awal kemerdekaan berbanding remaja pada masa kini. Remaja pada masa kini terdedah kepada cabaran hidup yang menguji mental dan fizikal mereka secara keseluruhan. Keadaan semasa yang memaksa semua ahli masyarakat berfikir pantas, bergerak cepat dan merebut peluang yang mencabar telah mempengaruhi remaja untuk turut sama memenuhi tuntutan tersebut. Berbeza daripada remaja pada awal kemerdekaan, mereka lebih terdedah kepada cabaran memenuhi keperluan untuk hidup dalam sebuah negara yang merdeka.

          Walau bagaimanapun, setiap zaman mempunyai cabarannya tersendiri yang perlu ditangani oleh masyarakat yang berada dalam zaman tersebut. Penulisan ini tidak berhasrat untuk menghuraikan perbezaan kehidupan remaja pada kedua-dua zaman. Perbincangan ini terarah kepada tekanan berkaitan pelajaran, ekonomi dan persekitaran remaja pada masa sekarang, iaitu era globalisasi dan kemajuan teknologi kini. Kepesatan teknologi yang berlaku hari ini telah mengubah cara fikir, cara laku dan tindakan semua ahli masyarakat. Remaja juga tidak terlepas daripada menghadapi situasi seperti ini. Malah, golongan remaja lebih terasa cabaran hidup hari ini berat dan sangat mencabar bagi mereka. Hanya remaja yang bijak menangani keadaan yang diistilahkan sebagai “tekanan” ini sahaja yang akan berjaya menghadapinya. Jika tidak, remaja akan terasa tekanan tersebut sebagai satu bebanan yang sukar diuruskan.

          Apakah yang dimaksudkan dengan tekanan? Banyak juga yang menyamakan istilah tekanan sebagai stres. Secara psikologi, tekanan ini diberi makna sebagai satu keadaan yang mengganggu fikiran dan emosi seseorang kesan daripada kegagalan memenuhi kehendak diri. Kebiasaannya, kegagalan tersebut disebabkan oleh ketidakupayaan seseorang untuk memenuhi impian dan harapan diri mereka. Keadaan ini termasuk juga kegagalan untuk memenuhi kehendak orang di sekeliling mereka seperti ibu bapa, guru, saudara-mara dan ahli masyarakat keseluruhannya. Bagi remaja, keadaan ini sangat rumit dan sukar ditangani jika tidak mendapat sokongan yang baik daripada individu yang rapat dan dekat dengan mereka, terutamanya ahli keluarga dan rakan.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2017)

Hantar Maklum Balas