Sekolah Tempat Menyuburkan Manusiawi

Home » Nota Editor » Sekolah Tempat Menyuburkan Manusiawi

Oleh Khairul Anum Mohd Ali 

Ketibaan Ramadan disambut dengan perasaan gembira oleh semua insan Muslim. Namun, bagi keluarga Zulfarhan Osman Zulkarnain kegembiraan mereka tergugat sedikit berikutan mendapat berita pemergian, Allahyarham Zulfarhan pada 1 Jun 2017 yang lalu. Kematian Zulfarhan diberitakan berpunca daripada kecederaan yang teruk pada seluruh tubuhnya, dan yang paling sadisnya 80 peratus tubuhnya melecur. Beliau dikhabarkan telah didera dan dibuli oleh rakan yang menuntut ilmu di bawah bumbung yang sama, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Setelah pihak polis melakukan siasatan akhirnya seramai 32 mahasiswa UPNM dan empat mahasiswa dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) turut ditahan bagi membantu siasatan pihak polis.

Tahun demi tahun ada sahaja kes buli yang dilaporkan oleh akhbar. Permasalahan ini diibaratkan tiada noktah penghujungnya. Berbagai-bagai cadangan dan saranan dikemukakan oleh pihak-pihak tertentu dalam masyarakat bagi membantu membendung masalah ini, namun kelihatannya masalah ini semakin “subur”. Jika kita sorot kes Zulfarhan ini, mahasiswa di pusat pengajian tinggi juga terdedah untuk melakukan perbuatan ini. Di sekolah juga sering kita dengar kes buli dan kes sosial yang lain berlaku. Kes merokok, memeras ugut, vandalisme, pergaulan bebas dan berjudi dalam kalangan pelajar sekolah sudah sering dilaporkan di media massa. Di mana-mana sahaja masalah sosial ini akan tetap berlaku dan sudah tidak mengira tempat dan peringkat umur lagi.

Memandangkan masalah sosial ini yang boleh berlaku di mana-mana sahaja, oleh itu langkah pencegahannya haruslah bermula dari peringkat awal. Benih yang baik, di mana-mana sahaja yang kita campakkan akan tumbuh menjadi pohon yang subur. Memang tidak dapat dinafikan pendidikan awal bagi kanak-kanak adalah di rumahnya. Ibu bapanya yang bertanggungjawab mendidik dan membekalkannya dengan segala keperluan asas sebagai persediaan untuk kanak-kanak berdepan dengan dunia luar. Didikan agama dan adab perlu diterapkan pada peringkat ini agar dapat membudaya dalam kehidupan kanak-kanak itu.

Di sekolah murid-murid telah mula diperkenalkan dengan peraturan yang perlu dipatuhi sebagai kawalan tingkah laku mereka. Penekanan terhadap kawalan sosial di sekolah perlu dititikberatkan kerana alam persekolahan merupakan alam yang mengenalkan murid kepada pergaulan dan persekitaran yang lebih luas. Jika sebelumnya pergaulan kanak-kanak hanyalah dengan ibu bapa, adik-beradik dan jiran tetangga, tetapi kini di sekolah pergaulan mereka lebih luas. Mereka akan bergaul dengan rakan-rakan yang berasal daripada pelbagai latar belakang dan pendidikan. Jika sekiranya asas pertahanan diri mereka goyah, besar kemungkinan pengaruh yang negatif akan mudah meresap masuk ke dalam diri mereka. Unsur negatif inilah jika tidak dibendung akan menjadi “racun” dalam masyarakat.

Berbalik kepada kes Zulfarhan, sekiranya suspek yang terlibat dalam kes ini dapat menggunakan kewarasan akal fikirannya, barangkali dapat menyelamatkan satu nyawa insan. Malah, janganlah kerana ingin menghukum seseorang atau sekadar ingin “berseronok” membelasah rakan hingga mengorbankan nyawa anak seorang ibu penyayang dan bapa yang pengasih. Takziah buat keluarga Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, semoga damailah di alam abadi.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2017)

Hantar Maklum Balas