MENJELANG AMBANG KEMERDEKAAN: OGOS 1957

Home » Jati Diri » Arkib Negara » MENJELANG AMBANG KEMERDEKAAN: OGOS 1957

Oleh   Nurzuliana Kamaruzaman, Arkib Negara Malaysia

Bulan Ogos merupakan bulan yang cukup sinonim dengan imbasan kemerdekaan dan sambutannya. Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu mendapatkan kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957 sebagai tanda berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu dan lahirnya sebuah negara baharu yang berdaulat, bebas dan merdeka.

Antara detik yang paling hampir untuk mendapatkan kemerdekaan ialah pada hari Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu ditandatangani di Lancaster House, London pada 8 Februari 1956. Perjanjian ini juga dikenali sebagai Perjanjian London. Perjanjian ini telah ditandatangani oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Mr. Alan Lennox – Boyd, Setiausaha Negara Tanah Jajahan British bagi pihak Kerajaan British. Melalui perjanjian ini, kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu akan diisytiharkan pada 31 Ogos 1957. Perjanjian ini juga merupakan sebuah perjanjian yang memberikan harapan kepada pengakhiran untuk segala jerih perih, usaha dan pengorbanan pemimpin dan rakyat Tanah Melayu yang amat menanti-nantikan kemerdekaan demi menolak penjajahan dan kuasa asing di tanah air tercinta. 

Pada 20 Februari 1956, sekembalinya rombongan menuntut kemerdekaan dari London, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra telah mengisytiharkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Padang Bandar Hilir, Melaka. Pengisytiharan ini telah disambut dengan pekikan “Merdeka” yang bergemuruh daripada 100 000 rakyat Tanah Melayu. Begitu besar erti kemerdekaan kepada seluruh rakyat Tanah Melayu ketika itu. Lantas, pelbagai persediaan dan penstrukturan semula pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu mula diatur dan  diselaras dengan baik bagi menjamin kesatuan sebuah negara yang merdeka. Semakin hampir menjelang hari bersejarah tersebut, semakin rancak persediaan dan perhatian ke arah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2017)

Hantar Maklum Balas