GEMURUH JIWA SEMANGAT MEMBARA

Home » Nota Editor » GEMURUH JIWA SEMANGAT MEMBARA

Oleh Khairul Anum Mohd Ali

Saat paling bahagia bagi seorang pelajar ialah apabila dinobatkan sebagai pelajar terbaik dalam peperiksaan. Menyorot keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 yang diumumkan pada 28 Februari 2017 yang lalu, Khairunnisaq Khairudin, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Mas, Kota Tinggi, Johor tampil sebagai salah seorang calon terbaik STPM. Beliau memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00. Lebih mengejutkan beliau sebenarnya penghidap penyakit saraf atropi otot spina jenis 2 sejak lahir. Faktor kesihatan ini menyebabkan beliau lebih banyak duduk di atas kerusi roda serta tidak dapat hadir ke sekolah mengikuti sesi pembelajaran. Masa beliau banyak dihabiskan di rumah, dan di situlah beliau mengulang kaji pelajaran dengan bantuan daripada nota-nota yang dibekalkan oleh guru yang prihatin terhadap penyakit yang dihidapinya. Penyakit saraf ini merupakan sejenis penyakit neuron motor kronik yang menyebabkan penghidapnya mengalami kelumpuhan kerana berlaku pengecilan otot.

Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016 yang mula diumumkan pada 19 Januari 2017 yang lalu, juga memberikan kejutan. Hal ini dikatakan demikian kerana Ahmad Faiz Ibrahim, pelajar Sekolah Menengah (A) Al-Rahmah Kenali, Kubang Kerian, Kelantan meraih keputusan 10 Mumtaz (Cemerlang) dalam semua mata pelajaran yang diduduki. Lebih mengejutkan kerana Ahmad Faiz merupakan penghidap palsi serebrum yang membataskan pergerakannya. Beliau hanya boleh menggerakkan kepala dan dua jarinya sahaja serta 95 peratus pergerakannya perlu dibantu oleh orang lain. Malah dikatakan semasa menjawab peperiksaan Ahmad Faiz menulis menggunakan dua jari yang ditolak dengan dagunya hingga menitis darah dari dagu. Alangkah gigih anak ini mengejar impiannya.

Kehidupan kita sentiasa penuh dengan impian yang hendak dicapai. Impian itu datang dalam minda kita tanpa disedari hingga impian menjadi asas psikologi bagi semua orang tanpa kecuali. Kehidupan yang kosong daripada impian dianggap seperti bahtera tanpa nakhoda terumbang-ambing di lautan luas tanpa arah tujuan persinggahan. Jika bernasib baik, bahtera akan berlabuh di tepian pantai atau jika sebaliknya bahtera akan hanyut dipukul gelombang yang akhirnya tewas dan tenggelam di dasar lautan.

Mengejar impian bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi perlu diiringi dengan usaha yang sungguh-sungguh dan semangat yang kental. Apabila matlamat hidup yang disasarkan berjaya dicapai hidup akan lebih bahagia dan menyeronokkan. Hingga akhirnya akan menimbulkan perasaan bangga, gembira dan mendatangkan kepuasan untuk diri sendiri. Perasaan sukacita ini timbul sebagai penghargaan kepada diri sendiri yang telah berjaya melepasi segala rintangan dan cabaran demi satu impian yang dihajati. Kejayaan melunaskan matlamat juga membuktikan keyakinan dan keupayaan diri mendepani cabaran.

Bagi Khairunnisaq dan Ahmad Faiz, kekurangan diri bukan penghalang untuk mengecap kejayaan dan kemenangan. Selagi penuh tekad di dada, ikhtiar nan jitu serta doa dan tawakal, insya-Allah kejayaan pasti dalam genggaman. Semoga impian Ahmad Faiz untuk bergelar pakar ilmu hadis akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa September 2017)

Hantar Maklum Balas