Bijak Mengurus Emosi Lambang Kematangan Diri

Home » Nota Editor » Bijak Mengurus Emosi Lambang Kematangan Diri

Oleh Khairul Anum Mohd Ali

Baru-baru ini satu video seorang wanita sambil mengacu-acukan besi pengunci stereng kereta sedang bertekak dengan seorang pegawai penguat kuasa menjadi tular di media sosial. Setelah diselidik kes ini rupa-rupanya berpunca daripada wanita tersebut tidak berpuas hati terhadap pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang telah mengunci tayar keretanya. Kejadian berlaku di Jalan Puteri, Bandar Puteri Puchong, Puchong. Yang berlaku sudah pun berlaku, namun iktibar yang perlu diambil ialah tindakan yang sewajarnya patut dilakukan apabila berhadapan dengan situasi sebegini.

Jelaslah bahawa, lazimnya luahan amarah akan melahirkan tindakan yang di luar kawalan diri. Amarah akan timbul apabila individu terbabit berasakan dirinya terancam oleh sesuatu peristiwa atau situasi. Kajian menunjukkan luahan amarah dapat difahami menerusi simptom antaranya termasuklah suara yang terketar-ketar, pernafasan pendek dan pantas, ketegangan saraf, menjerit-jerit apabila bercakap, kekuatan fizikal meningkat, ketegangan otot dan tingkah laku yang agresif. Simptom ini jika tidak dikawal secara bijaksana akan mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Wanita yang disebutkan pada awal tadi berasakan dirinya terancam kerana akan berhadapan dengan pelbagai urusan atau mungkin juga kerenah apabila keretanya ditunda. Berdasarkan video berkenaan yang tular di media sosial dapat difahami bahawa wanita tersebut telah meletakkan keretanya di tempat letak kereta orang kelainan upaya (OKU). Justeru, pegawai penguat kuasa yang bertugas dan bertanggungjawab menjaga keamanan masyarakat setempat ketika itu telah mengunci tayar kereta berkenaan. Wanita tersebut bermati-matian mengatakan dia meletakkan kereta di tempat OKU hanya kerana dia keluar sebentar untuk membeli makanan untuk temannya yang OKU.

Dalam hal ini pegawai penguat kuasa telah menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan terhadapnya, iaitu menjaga keamanan masyarakat setempat. Oleh itu, mana-mana kenderaan yang didapati diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya perlu dikunci tayarnya dan ditunda ke Depoh Tunda MPSJ di Puchong. Bagi wanita tersebut, mungkin dia juga mempertahankan haknya untuk mendapat keistimewaan tempat letak kereta khas kerana dia membantu golongan OKU. Namun, alasan wanita berkenaan tidak dapat diterima oleh pegawai penguat kuasa kerana wanita tersebut bukan daripada golongan OKU. Bahkan, sifatnya sempurna, sihat tubuh badan dan tiada cacat cela yang dipamerkan.

Walau bagaimanapun, tidak mungkin benang yang basah dapat ditegakkan. Tegasnya undang-undang perlu dikuatkuasakan terhadap sesiapa sahaja tanpa kecuali kerana undang-undang digubal demi kesejahteraan rakyat. Perlu diketahui bahawa perbuatan mengacu-acukan atau mengugut individu lain menggunakan alat yang boleh mencederakan orang adalah salah di sisi undang-undang Malaysia. Pilihan yang terbaik dan paling bijaksana adalah dengan mengaku kesilapan diri sendiri dan akur dengan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Tuntasnya, apabila berhadapan dengan situasi yang mencetuskan emosi dan amarah tidak perlulah melatah atau bertindak membabi buta. Bertenang dan berfikirlah secara waras dan bijaksana kerana orang yang bijaksana melambangkan kematangan berfikir. Mengakui kelemahan dan kesilapan diri tidak merendahkan martabat seseorang, akan tetapi akan lebih dipandang mulia oleh masyarakat. Bahkan, akan memudahkan urusan kehidupan kita pada masa hadapan.

***

(Rencana ini dipetik aripad amajalah Dewan Siswa Oktober 2017)

Hantar Maklum Balas