Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya

Home » Nota Editor » Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya

 

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

TRAGEDI kebakaran pusat tahfiz di Kuala Lumpur yang mengorbankan kira-kira 23 pelajar dan guru baru-baru ini bagaikan memberikan isyarat bahawa negara ini bakal dilanda “darurat” [ada masa hadapan. Hal ini dikatakan demikian kerana kebakaran tersebut berpunca daripada masalah sosial yang semakin kritikal dalam kalangan pelapis negara, iaitu remaja. Masalah sosial yang  pada mulanya seakan-akan dilihat sebagai kecil-sekadar mencuba untuk menghisap rokok dan ponteng sekolah-akhirnya menjadi besar apabila remaja belasan tahun itu sanggup membunuh nyawa yang tidak berdosa tanpa perasaan simpati.

Apabila memperkatakan masalh sosial, sering kali perkara ini dikaitkan dengan generasi muda dan remaja. Hal ini acap kali didengar sejak zaman dahulu lagi. Tidak seperti zaman dahulu, remaja pada zaman yang serba canggih dan terbuka kini lebih terdedah dan terdorong untuk melakukan perkara yang menyalahi undnag-undang. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka lebih mudah untuk “melihat” dunia luar melalui pelbagai medium, termasuklah melalui media sosial dan filem misalna, sehingga mereka terikut-ikut dan terpengaruh untuk melakukan perkara yang negatif.

Jika dilihat kembali kes kebakaran pusat tahfiz itu, suspek, yang teridiri daripada tujuh remaja berumur belasan itu, disahkan positif dadah syabu, iaitu sejenis dadah perangsang. Hal ini jelas membuktikan bahawa dadah merupakan punca utama remaja tersebut bertindak di luar jangkaan sehingga tergamak untuk membunuh. Penulis ini percaya bahawa sekiranya remaja tersebut tidak mengambil dadah, tidak mungkin mereka sanggup untuk bertindak sedemikian.

Dalam hal ini, perkara paling utama yang seharusnya diberi perhatian ialah pendidikan awal terhadap penyalahgunaan dadah. Pendidikan tentang dadah dalam kalangan remaja seharusnya bermula dari rumah, bukannya di sekolah semata-mata. Hal ini dikatakan demikian kerana ada sesetengah pihak menuding jari kepada pihak sekolah oleh sebab gagal mendidik suspek kes kebakaran tahfiz tersebut ketika sesi persekolahan. Ironinya, kesemua suspek kes tersebut merupakan remaja yang tidak bersekolah sejak sekian lama kerana tidak berminat untuk belajar.

***

Nota Editor Majalah Dewan Siswa November 2017

Hantar Maklum Balas