AYUH, KITA TERAPKAN DAYA PEMIKIRAN POSITIF BERSAMA-SAMA!

Home » Nota Editor » AYUH, KITA TERAPKAN DAYA PEMIKIRAN POSITIF BERSAMA-SAMA!

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Setiap manusia pastinya melalui pelbagai perubahan dan perkembangan yang berbeza pada diri mereka ketika remaja. Hal ini termasuklah dari segi perkembangan fizikal, mental dan emosi. Ada sesetengah remaja melalui perubahan yang cukup drastik pada fizikalnya, dan ada juga yang mengalami perubahan emosi pada awal usia remajanya. Dalam hal ini, pembentukan pemikiran yang sihat dan matang pada awal usia remaja amat penting agar selari dengan perkembangan jasmani dan rohani yang dialami dan sesuai dengan usia semasa mereka. Hal ini penting bagi mengelakkan golongan muda ini mengalami kecelaruan identiti, dan akhirnya melahirkan sikap memberontak dalam diri mereka.

Menurut kajian ahli psikologi, remaja sering dikaitkan dengan masalah kecelaruan luaran dan dalaman. Kecelaruan luaran mengakibatkan remaja itu mengalami masalah tingkah laku dan bersikap agresif. Kecelaruan dalaman menyebabkan mereka mengalami masalah, seperti kemurungan dan gangguan emosi. Dalam hal ini, pembentukan cara berfikir yang betul dan positif mampu untuk mengatasi masalah ini. Berfikir secara rasional misalnya, menjadikan remaja itu berupaya untuk mengenal pasti kelebihan dan kekurangan diri mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat mengenal pasti masalah yang dialami dan membuka jalan penyelesaiannya.

Usaha untuk membentuk pemikiran yang sihat seharusnya dipupuk dan diterapkan kepada remaja sejak seawal usia kanak-kanak lagi. Proses pembentukan pemikiran yang baik pada awal usia kanak-kanak dikatakan lebih berkesan kerana mudah untuk dilentur dan diasuh. Di Jepun, misalnya, kanak-kanak dididik dari awal untuk memauhi segala peraturan yang ada di negara tersebut dan menghormati adat budaya tempatan. Kanak-kanak di Jepun diasuh dengan penuh berdisiplin untuk mengenal erti sabar, budi pekerti, dan hormat-menghormati. Sudah tentunya sikap ini tertanam dalam jiwa mereka sehinggalah dewasa kelak.

Yang menariknya, pembentukan sikap dan pemikiran kanak-kanak di Jepun ini bukan sahaja diasuh oleh ibu bapa di rumah atau guru di sekolah, malah masyarakat sekeliling turut memainkan peranan. Sebagai contohnya, masyarakat Jepun tidak sesekali akan melanggar peraturan jalan raya, seperti melintas jalan raya ketika lampu isyarat berwarna merah walaupun tiada sebarang kereta yang melalui jalan tersebut. Hal ini bukannya berlaku disebabkan mereka bimbang disaman oleh pihak berkuasa, tetapi mereka lebih takut jikalau ada kanak-kanak yang melihat perbuatan melanggar peraturan itu dan meniru perbuatan mereka pada masa akan datang.

Secara tuntasnya, cara berfikir yang betul pastinya membawa perubahan yang besar dalam diri remaja. Melalui pemikiran, remaja bukan sahaja dapat menghasilkan idea baharu, bahkan dapat melahirkan rasa bahagia dalam diri sendiri dan juga orang lain. Usaha untuk membentuk pemikiran remaja yang berfikir ke arah kebaikan pastinya bukan tugas yang mudah. Namun demikian, jika setiap pihak berganding bahu dan bekerjasama, sudah tentunya hal ini membuahkan hasil yang positif demi kesejahteraan masa hadapan negara.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa bulan Disember 2017)

Hantar Maklum Balas