PERMULAAN KEBAIKAN BERMULA DARIPADA CARA BERFIKIR

Home » Fokus » PERMULAAN KEBAIKAN BERMULA DARIPADA CARA BERFIKIR

Oleh Noor Azam Abdul Rahman

Remaja yang berjaya cenderung untuk bertindak berdasarkan keputusan daripada pemikiran yang terbaik. Setiap isu yang berlaku di sekitar mereka akan dicanai sebaik-baiknya dalam bentuk pemikiran agar apa-apa yang keluar daripada sumber pemikiran mereka benar-benar bermanfaat untuk diri mereka dan penerima maklumat tersebut. Remaja yang hebat dan berjaya ini terdiri daripada golongan yang bijak menggunakan kebijaksanaan akal mereka ke arah yang sepatutnya. Secara analoginya, cuba kita perhatikan seekor semut yang mempunyai fizikal yang kecil, yang pastinya tidak mampu untuk mengangkat walaupun sebiji nasi, namun dengan kebijaksanaannya, semut tersebut masih mampu untuk membawa sebiji nasi secara bekerjasama dengan mengusungnya. Hal inilah yang dikatakan sebagai kebijaksanaan.

Menurut Dato’ Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah, tokoh motivasi terkenal di Malaysia, setiap remaja mempunyai ikon mereka yang tersendiri dalam setiap tindakan mereka. Peranan ikon ini seperti penunjuk arah kepada setiap remaja tersebut agar sentiasa berada pada landasan yang terbaik untuk mencapai cita-cita mereka. Pemilihan ikon yang terbaik oleh remaja ini mampu untuk mendorong remaja ke arah pemikiran yang terbaik juga. Walau bagaimanapun, kesilapan memilih ikon akan memberikan kesan yang tidak baik pula terhadap remaja tersebut. Dalam konteks pemikiran remaja, seseorang remaja yang terdedah kepada input daripada persekitaran yang negatif akan terpengaruh untuk bertindak secara negatif. Kesan input persekitaran terhadap pemikiran remaja sangat besar dan mencabar.

Cabaran utama remaja ialah pembentukan identiti mereka yang tersendiri, iaitu corak kehidupan yang menepati kehendak serta selari dengan matlamat kehidupan mereka pada masa hadapan. Bagi membina landasan yang tepat untuk kejayaan pada masa hadapan ini, remaja perlu mampu untuk membuat keputusan yang baik terhadap apa-apa sahaja tindakannya pada tempoh zaman remajanya. Kita sering didedahkan kepada kegagalan remaja untuk mencorakkan identiti mereka yang betul yang menyebabkan masa hadapan mereka juga diramalkan gelap.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa bulan Disember 2017)

 

Hantar Maklum Balas