MEMBENTUK PEMIKIRAN YANG SIHAT

Home » Fokus » MEMBENTUK PEMIKIRAN YANG SIHAT

Oleh Mohamad Farkhan Kamarolzaman

Akal dan fikiran merupakan anugerah yang paling istimewa yang dikurniakan kepada setiap makhluk yang bergelar manusia. Melalui akal, manusia berupaya untuk membezakan perkara yang baik daripada yang buruk. Akal merupakan alat berfikir untuk mendapatkan maklumat dan merupakan sumber penting untuk menjanakan ilmu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pembentukan akal dan cara berfikir yang betul merupakan perkara yang harus dititikberatkan bagi melahirkan generasi yang mampu untuk berfikir secara logik dan rasional.

Remaja merupakan kelompok yang berpotensi untuk membina aliran pemikiran, sama ada berbentuk positif dan sihat ataupun negatif dan buruk. Dalam hal ini, kegagalan untuk membentuk cara pemikiran remaja pastinya membawa padah. Hal ini dikatakan demikian kerana aliran pemikiran remaja didukung oleh input yang diterima daripada persekitaran mereka. Sekiranya remaja ini dikelilingi oleh input yang baik, seperti nilai murni dan pergaulan yang sihat, pastinya mereka lebih cenderung untuk berfikir ke arah kebaikan. Begitu juga sebaliknya.

Usia remaja merupakan peringkat perubahan masa antara zaman kank-kanak dengan dewasa. Peralihan masa ini dianggap sebagai jangka masa yang sangat mencabar bagi remaja. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja perlu menempuh pelbagai konflik dalam kehidupan harian mereka, termasuklah konflik jiwa, emosi dan pemikiran. Pada masa ini, keupayaan remaja untuk menilai dan menyelesaikan masalah turut lemah. Berbeza daripada orang dewasa, remaja mempunyai kefahaman yang berlainan dalam segenap aspek kehidupan mereka. Perbezaan inilah yang menentukan sama ada mereka merangka pemikiran positif ataupun negatif.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa bulan Disember 2017) 

Hantar Maklum Balas