PENGEMBARAAN CENDEKIAWAN DI ACEH

Home » Libur dan Rekreasi » Rakaman Pengembara » PENGEMBARAAN CENDEKIAWAN DI ACEH

Oleh Ku Siti Aminah Ku Mat

Pada bulan Januari 2017, kaki ini berpijak jua di tanah yang terkenal dengan nama serambi Mekah. Nama itu diberikan kerana begitu banyak ulama dan pejuang kemerdekaan yang tumbuh di tanah ini. Tanah ini jugalah yang merupakan antara pusat perdagangan dunia yang amat penting pada suatu ketika dahulu, di samping Melaka.

Tatkala matahari terbit di ufuk timur, waktu itulah kami berlima tiba di lapangan terbang Sultan Iskandar Muda, Aceh. Perjalanan hanya memakan masa selama satu jam. Baru sahaja tiba di balai ketibaan, kami disambut mesra oleh senyuman pemuda penuh budi pekerti, Fauzan. Dia pemandu kami ketika di Banda Aceh. Sebelum itu, kami meluangkan masa di Pulau Sabang yang dahulu dikatakan berpisah dari daratan Aceh kerana gempa bumi beribu-ribu tahun yang lalu.

Dengan menaiki feri di jeti Ulee Lheue selama dua jam, kami tiba jua di jeti Balohan, Sabang. Usai mendaftarkan penginapan di Hotel Freedies Pantai Sumurtigadan, tanpa berehat, kami dengan penuh teruja langsung menuju ke Benteng Jepang Anoi Itam dengan membonceng skuter. Benteng itu letaknya di tebing laut yang agak tinggi. Namun begitu, hal itu tidak menjdai pematah semangat untuk kami terus mendaki anak tangga sehingga benteng.

 Dari puncak benteng, kami dapat melihat laut yang luas berhamparan. Bongkah batu berwarna hitam turut mengukuhkan tebing tersebut. Di situ juga, terdapat meriam lama yang merupakan peninggalan penjajah Jepun. Kami terlalu asyik dibuai keindahan persekitaran kawasan sejarah tersebut sehingga tidak sedar bahawa siang hampir melabuhkan tirai. Namun demikian, kerana perasaan ingin tahu yang menebal, Lea Ofeaa Mohd Shamsuddin sempat mengajak saya masuk ke dalam kubu kecil di dalam benteng Jepun dengan hanya bersuluhkan lampu telefon pintar. Kamilangsung memberanikan diri menapak perlahan-lahan di dalam benteng sempit dan gelap. Dalam ruangan inilah, penjajah dengan ketakutan menyorokkan diri daripada tikaman rencong pejuang aceh.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2017)

Hantar Maklum Balas