REMAJA HARUS PEKA AKAN TANGGUNGJAWAB

Home » Jati Diri » Islam dan Anda » REMAJA HARUS PEKA AKAN TANGGUNGJAWAB

Oleh WAN MARZUKI WAN RAMLI

Ramai orang mengatakan bahawa kehidupan yang kita lalui sekarang terlalu rumit dan banyak halangan serta cabaran yang perlu ditempuhi. Namun demikian, hal ini bukanlah halangan yang tidak membolehkan kita bergerak dan membina kehidupan yang lebih baik dan sempurna.

Banyak perkara sudah tidak lagi diambil berat. Inilah yang berlaku dalam kalangan remaja dan belia. Keadaan yang berlaku mungkin disebabkan oleh kurangnya rasa yakin diri dan pegangan yang sudah lari daripada norma pembinaan akhlak yang dibentuk oleh ajaran al-Quran dan sunah Baginda Rasulullah SAW.

Lantaran kelalaian, tidak mahu belajar serta tidak menghayati al-Quran dan sunah, maka terjadilah banyak perkara yang akhirnya menyebabkan kita sebagai penonton, bingung dan celaru. Dengan hal yang demikian, timbul persoalan, adakah trend generasi masa kini menjadi trend pada masa akan datang?

Tindakan mencelup rambut, cara berpakaian yang mendedahkan aurat, pergaulan yang semakin tidak terbatas, gejala dadah, dan sebagainya, sudah semakin berleluasa serta mewarnai kehidupan remaja dan belia pada masa kini. Mereka sudah tidak serta segan-silu lagi mencelup rambut dengan pelbagai warna dan bergerak bebas di tengah-tengah kelompok masyarakat sekeliling.

Kita semakin dicelarukan lagi dengan pengaruh luar yang sudah menjadi “pakaian” generasi muda kita. Oleh hal yang demikian, pelbagai cara dan usaha perlu terus digembleng supaya perubahan yang berlaku di sekeliling kita ini, tidak dilihat sebagai perubahan yang mewujudkan kesan sampingan yang negatif. Perubahan yang berlaku perlu disaring dan disesuaikan dengan keadaan dan iklim yang kita lalui.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

Hantar Maklum Balas