KAMUS DEWAN-Along Alung

Home » Akademik » Cintai Bahasa Kita » KAMUS DEWAN-Along Alung

Oleh Muhammed Salehudin Aman (Munsyi Dewan)

Dalam kosa kata bahasa Melayu dapat ditemukan dua patah perkataan yang sebutannya berbeza oleh sebab kelainan bunyi vokal. Perkataan yang dimaksudkan itu ialah alung dan along. Kedua-dua patah perkataan ini masih digunakan dalam bahasa Melayu. Alung mendukung makna yang positif manakala along membawa sesuatu makna yang bersifat negatif.

Bunyi kedua-dua patah perkataan ini dibezakan oleh bunyi huruf vokal ( o ) dan ( u ) dalam ejaannya. Kedua-dua bunyi vokal inilah yang menerbitkan kelainan makna bagi setiap patah perkataan tersebut.

Makna along yang difahami oleh orang banyak ialah “ceti haram”, yakni satu label yang merujuk orang perseorangan atau badan yang menawarkan pinjaman kewangan secara haram kepada seseorang pada kadar faedah yang sangat tinggi, yakni lebih tinggi daripada kadar pinjaman yang ditawarkan oleh institusi bank. Kadar faedah yang tinggi ini pula disusuli dengan ugutan ataupun ancaman keganasan kepada si peminjam apabila pinjaman tidak dilunaskan.

Perkataan along (ah long) berasal daripada frasa nama bahasa Kantonis daai ji lung, lalu disebut along sahaja yang merujuk ceti haram. Kegiatan ceti haram wujud di Malaysia dan Singapura. Proses kelulusan sesuatu pinjaman begitu mudah dan tidak terlalu lama. Dalam hal pinjaman wang ini, peminjam diberikan sejumlah wang pinjaman pada kadar tertentu seperti yang diminta. Peminjam dikenakan kadar pinjaman yang sangat tinggi, yakni kira-kira 40 peratus sebulan atau sehari melalui kaedah himpunan baki berterusan.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa bulan Disember 2017)

Hantar Maklum Balas