Buku Gedung Ilmu, Pembacaan Kunci Utamanya

Home » Nota Editor » Buku Gedung Ilmu, Pembacaan Kunci Utamanya

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Zaman remaja merupakan masa yang paling mencabar yang perlu ditempuh oleh setiap individu. Pada waktu inilah, remaja mengalami zon peralihan dari zaman kanak-kanak yang penuh dengan imaginasi dan keseronokan, ke zaman untuk mengenali diri sendiri yang penuh dengan kekeliruan, sebelum mencapai kematangan. Perubahan yang dialami ini merupakan salah satu proses pembentukan jati diri remaja yang dipengaruhi oleh beberapa faktor, antaranya termasuklah persekitaran dan juga bahan bacaan mereka.

Pada zaman yang serba moden dan canggih ini, remaja tidak terkecuali terdedah dengan gelombang yang berupaya menghanyutkan mereka dalam proses pembentukan identiti dan jati diri. Hal ini dikatakan demikian kerana pendedahan secara terbuka ini menjadikan remaja menggunakan “jalan singkat” untuk mendapatkan sebarang maklumat dengan menjadikan internet sebagai medium pembacaan mereka. Rata-rata remaja kini lebih gemar mengambil jalan mudah untuk mendapatkan ilmu disebabkan kepesatan perubahan teknologi masa kini.

Remaja seharusnya menyedari bahawa dalam proses memperoleh sesuatu ilmu, sebenarnya tiada jalan mudah dan singkat. Proses pembelajaran mengambil masa yang lama dan memerlukan usaha yang berterusan  dengan merujuk sumber yang sahih. Dalam hal ini, buku yang berkualiti merupakan salahs atu sumber rujukan yang sesuai untuk mendapatkan ilmu. Buku seharusnya dijadikan sumber rujukan yang utama bagi remaja untuk mendapatkan sesuatu maklumat, berbanding dengan hanya merujuk internet. Hal ini dikatakan demikian kerana bahan bacaan yang berkauliti mempunyai fakta yang lebih tepat dan benar, berbanding internet yang tidak diketahui kesahihan maklumatnya.

Umum mengetahui bahaw abuku merupakan jambatan untuk mendapatkan ilmu. Hal ini membuktikan bahawa dengan pembacaan buku yang berkualiti, seseorang itu berupaya untuk mendapatkan ilmu, dan seterusnya menghasilkan idea baharu. Tidak dapat dinafikan bahawa ada juga sesetengah bahan bacaan di internet yang berkualiti, namun sedarlah bahawa kebanyakan maklumat tersebut sebenarnya diambil daripad abuku.

Secara tuntasnya, pembacaan buku ternyata lebih baik berbanding pembacaan melalui alam nyata. Seseorang itu bukan sahaja berupaya memperoleh sesuatu maklumat secara langsung melalui buku, bahkan dapat menggalakkan penggunaan pancaindera melalui sentuhan fizikal buku dan juga menikmati bau aroma buku tersebut. Sesungguhnya buku merupakan kunci utamanya.

***

Pada kesmpatan ini, sidang editorial Dewan Bahasa ingin menguacpkan takziah dan rasa dukacita atas pemergian Siti Hadijah Umor, penolong editor Dewan Pelajar yang telah kembali ke rahmatullah pada 5 Disember 2017. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT. Al-Fatihah.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa bulan Januari 2018)

Hantar Maklum Balas