Amalan Membaca: Buku Semakin Dilupakan?

Home » Fokus » Amalan Membaca: Buku Semakin Dilupakan?

Oleh Aminudin Mansor

Membaca seharusnya dijadikan sebagai rutin kehidupan dan santapan minda. Dalam kehidupan, membaca ialah seni bagi mencari ilmu pengetahuan. Seni membaca memerlukan kefahaman, ketelitian dan keseronokan. Jika ketiga-tiga unsur ini dapat dimanfaatkan, seseorang itu mampu untuk membaca dengan tekunnya dan berterusan. Mereka yang berminat untuk membaca akan berminat untuk menjadi penulis dan pemikir.

 Kini, masyarakat semakin meminggirkan kepentingan membaca buku, termasuklah buku elektronik, pada zaman yang serba canggih ini. Remaja, khususnya, lebih cenderung untuk mendapatkan maklumat melalui internet semata-mata, walaupun tidak diketahui kesahihan maklumat tersebut. Ada juga segelintir remaja gemar untuk membeli buku, tetapi malas untuk membacanya. Kalangan murid juga tidak berminat untuk membaca novel, cerpen, puisi dan drama, serta prosa tradisional yang dijadikan sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS). Ada antara mereka yang hanya membaca sinopsis novel sahaja kerana wajib bagi menghadapi peperiksaan, seperti peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Remaja, khususnya generasi muda yang masih berada di bangku sekolah, mestilah dilatih supaya berminat untuk membaca dan membuat rujukan daripada buku. Hal ini juga akan menjadikan amalan membaca kepada remaja sebagai amalan yang baik bagi menimba ilmu, khususnya buku yang mempunyai ilmu pengetahuan.

Pada peringkat paling asas, setiap kanak-kanak perlu menguasai kemahiran literasi dan numerasi melalui pembacaan sepenuhnya, khususnya melalui buku, bagi menambahkan ilmu pengetahuan. Kemudahan internet menyebabkan remaja atau generasi muda lebih cenderung untuk mendapatkan maklumat. Dari segi ilmiah, terutama pada peringkat pusat pengajian tinggi atau universiti, amalan ini tidak baik dan tidak mencambahkan nilai ilmu pengetahuan. Rujukan dan pembacaan dalam internet ialah jalan mudah yang belum tentu kesahihannya dari segi dapatan ilmu pengetahuan.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2018)

Hantar Maklum Balas