Cabaran Guru Alaf Baharu

Home » Nota Editor » Cabaran Guru Alaf Baharu

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Kes seorang guru didakwa di mahkamah akibat daripada menghukum seorang murid yang melanggar peraturan sekolah, sehingga menyebabkan kecederaan di pipi, menjadi perbualan hangat di seluruh negara baru-baru ini. Azizan Manap, guru sekolah rendah di Negeri Sembilan, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Walau bagaimanapun, Azizan dilepaskan tanpa dibebaskan oleh mahkamah majisteret daripada pertuduhan tersebut.

Kes ini jelas menggambarkan bahawa bukannya mudah untuk menjadi guru atau pendidik. Guru kini berada dalam keadaan dilema, sama ada untuk bertindak tegas bagi memelihara akhlak dan disiplin murid ataupun menyelamatkan diri daripada diheret ke mahkamah akibat daripada tindakan tersebut. Hal ini ditambah pula dengan bebanan kerja yang semakin meningkat dan bilangan murid yang semakin banyak dari tahun ke tahun.

Tidak dapat disangkal lagi bahawa cabaran menjadi guru sememangnya amat besar pada masa ini berbanding dengan zaman dahulu. Dahulu, guru hanya perlu berhadapan dengan murid yang berbagai-bagai ragam, termassuklah yang bermasalah atau melanggar disiplin di sekolah. Dahulu, ibu bapa atau penjaga sangat menghormati profesion guru sebagai pendidik dan menyerahkan anak mereka “bulat-bulat” kepada guru untuk dibentuk serta dididik sehingga berjaya.

Kini, guru bukan sahaja bertanggungjawab untuk mengawal murid di sekolah, bahkan perlu berhadapan dengan ibu bapa atau penjaga jika anak mereka mempunyai masalah dalam pembelajaran atau disiplin. Terdapat segelintir ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka dihukum atau didenda oleh guru kerana pelanggaran disiplin di sekolah. Mereka seolah-olah menggalakkan murid ini untuk melanggar peraturan sekolah yang dianggap tidak penting. Yang hairannya, apabila anak mereka gagal dalam pembelajaran di sekolah atau berkelakuan nakal di rumah, guru pula yang dipersalahkan.

Berkaitan dengan kes Cikgu Azizan tersebut, ibu bapa atau penjaga seharusnya sedar bahawa segala hukuman atau denda yang dikenakan terhadap murid di sekolah bertujuan untuk mendidik semata-mata dan bukannya disebabkan hal peribadi. Walaupun begitu, guru juga perlu merujuk garis panduan yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan tentang bentuk hukuman dan denda yang tidak boleh dikenakan terhadap murid.

Namun begitu, penulis ini yakin bahawa tiada guru yang sanggup melihat anak didik mereka gagal dalam pembelajaran, apatah lagi terjebak dengan gejala sosial yang semakin merunsingkan. Segala hukuman atau denda yang dikenakan terhadap murid di sekolah pastinya demi kebaikan untuk diri mereka sendiri, supaya menjadi individu yang lebih baik dan berdisiplin.

Secara tuntasnya, guru seharusnya diberi kepercayaan sepenuhnya oleh setiap pihak bagi mendidik dan membimbing anak bangsa. Jika profesion guru tidak lagi dihormati dan dihargai, maka akan hilanglah pedoman anak bangsa yang pasti hanyut ke lembah kejahilan tanpa sebarang bimbingan. Hargailah guru kerana mereka dipertanggungjawabkan untuk mencorakkan pelapis negara. Sesungguhnya masa hadapan negara terletak di tangan mereka.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil 2 2018)

 

Hantar Maklum Balas