Selami Roh dan Jiwa Guru

Home » Fokus » Selami Roh dan Jiwa Guru

Oleh Alias Ismail

Permasalahan yang berkaitan dengan konflik antara guru dengan ibu bapa merupakan satu dripada cabaran yang menuntut kematangan semua pihak bagi mencari denai penyelesaiannya. Sekiranya permasalahn tersebut hanya dilihat sebagai satu peristiwa semata-mata, maka kes, sebagaimana yang berlaku kepada Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan, Azizan Manap, baru-baru ini akan muncul lagi, malahan bertambah pada tahun yang bakal mendatang, dengan cerita, tema, serta persoalan yang sama. Kalau pun wujud perbezaan dalam “drama” konflik tersebut, kelainan berkenaan mungkin berlaku pada aspek watak, latar, dan plotnya sahaja.

Pada peringkat yang lebih atas dan lebih berautoriti, sudah pun ada kedengaran bahawa permasalahan tersebut akan diberi perhatian segera dan menyeluruh, apatah lagi setelah Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Mahdzir Khalid, membuat kenyataan akhbar bahawa isu berkenaan memerlukan penyelesaian bijaksana. Kementerian Pendidikan menyahut kenyataan tersebut dengan segera turun padang mengikut prosedur pengendalian standard atau rukun tindakan yang telah sedia ada, seperti menghantar pegawai untuk berjumpa dengan guru dan menyantuni keluarga pelajar tersebut.

Pada peringkat kesatuan dan persatuan guru pula, sudah pun kedengaran suara lantang dan nada pembelaan serta resolusi pada skala yang besar daripada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), termasuklah keperluan menggubal peraturan yang dikenali sebagai Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga. Suara yang dilantunkan oleh Presiden KPPK, Kamarozaman Abd Razak, itu memperlihatkan kebimbangan pihak berkenaan, selaku kesatuan guru terbesar negara ini, berkaitan dengan keselesaan, kebajikan, dan keselamatan guru ketika melaksanakan tanggungjawab mendidik pelajar. Sebagai kesatuan guru yang paling responsif terhadap pembelaan nasib guru, KPPK menegaskan bahawa kod etika tersebut wajar digubal dan mampu untuk menjadi peringatan kepada ibu bapa atau penjaga pelajar daripada bertindak melulu.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 2 2018)

Hantar Maklum Balas