Tanpa Guru, Siapalah Kita?

Home » Fokus » Tanpa Guru, Siapalah Kita?

Oleh Amirah Syazwani Baderol Sham

GURU merupakan individu yang paling berpengaruh dan dihormati dalam kalangan masyarakat Malaysia pada suatu masa dahulu. Kerjaya ini dipandang tinggi dan individu yang bergelar guru diibaratkan sebagai golongan cerdik pandai. Bukan itu sahaja, masyarakat setempat juga menyambut dan menerima baik kepemimpinan mereka, terutamanya guru yang menetap di kawasan kampung.

Namun demikian, situasi yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya. Profesion yang menjadi sanjungan masyarakat semakin terhakis kehormatannya oleh masyarakat. Sebagai bukti, sudah acap kali kita dapat melihat tajuk di helaian akhbar tempatan yang memaparkan guru disaman, dipukul, diserang dan sebagainya. Mungkinkah masyarakat kini tidak lagi diasuh dengan adab menuntut ilmu seperti masyarakat dahulu?

Kemajuan negara bergantung pada ilmu yang dimiliki oleh bangsanya, seperti yang berlaku di Jepun. Menurut ahli sosiologi Ezra Vogel dalam bukunya Japan as Number 1: Lessons for America, satu daripada faktor komitmen mereka yang begitu mendalam terhadap ilmu dan maklumat. Islam sendiri bukan sahaja telah meletakkan ilmu pengetahuan di tahap yang tinggi, tetapi juga menganjurkan umatnya untuk sentiasa mementingkan ilmu pengetahuan. Hal ini selari dengan firman Allah SWT dalam ayat 9 surah az-Zumar yang bermaksud “Katakanlah: Tiada serupa orang yang berilmu pengetahuan daripada orang yang tiada berilmu pengetahuan.” Jadi, Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam seharusnya berusaha untuk melengkapkan diri mereka dengan ilmu tanpa jemu melalui pendidikan, sama ada secara formal ataupun tidak.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil 2 2018)

Hantar Maklum Balas