AYUH CEGAH SEBELUM PADAH!

Home » Nota Editor » AYUH CEGAH SEBELUM PADAH!

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Tragedi seorang remaja membunuh diri kerana tidak tahan menjadi mangsa pembulian siber di Australia baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa gejala buli tidak seharusnya dianggap sebagai perkara remeh dan tidak memberikan sebarang kesan kepada mangsanya. Amy Everett, 14 tahun, membunuh diri pada 3 Januari 2018 yang lalu selepas sering menjadi sasaran pembuli di alam maya. Remaja yang pernah menjadi model bagi topi jenama terkenal di negara itu mengelar pergelangan tangannya sebelum menemui ajal.

Kematian remaja tersebut seharusnya membuka mata pelbagai pihak untuk membendung masalah yang semakin kritikal ini. Walaupun tragedi ini berlaku di luar Malaysia, jika tidak dibendung, pastinya tragedi yang sama turut berlaku dalam kalangan remaja di negara ini. Sepanjang tahun 2017, statistik yang dikeluarkan oleh CyberSecurity Malaysia menunjukkan bahawa lebih daripada 200 kes gangguan siber dilaporkan kepada Cyber999. Namun begitu, penulis ini percaya bahawa kejadian buli siber yang tidak dilaporkan sudah tentunya melebihi angka tersebut.

Dalam hal ini, jelaslah bahawa buli siber ini sebenarnya acap kali berlaku dalam kalangan masyarakat negara ini. Yang lebih membimbangkan, gejala buli siber ini selalunya berlaku dalam kalangan remaja, sama ada mereka sebagai pembuli ataupun mereka dibuli. Kajian mendapati bahawa hampir 300 kes buli siber membabitkan remaja di Malaysia pada tahun 2017. Kes buli siber ini juga meningkat dalam kalangan pelajar sekolah setiap tahun, terutamanya pelajar berumur 13 hingga 15 tahun.

Tindakan Kementerian Pendidikan yang memberikan penekanan terhadap perbuatan buli siber dalam kajian garis  panduan baharu tentang hukuman yang dibenarkan terhadap pelajar seharusnya dipuji dan disokong oleh setiap pihak. Penambahbaikan garis panduan tersebut sudha tentunya dapat mengekang “wabak” buli siber daripada terus menular dalam kalangan pelajar di sekolah dengan melaksanakan hukuman yang sewajarnya.

Bagi penulis ini, hukuman yang berat wajar dikenakan terhadap pembuli siber kerana perbuatan tersebut dapat diibaratkan seperti jenayah membunuh. Hal ini dikatakan demikian kerana mangsa buli siber akan mengalami tekanan emosi dan kemurungan, dan akhirnya bertindak untuk membunuh diri, sama seperti tragedi Amy Everett. Sedarilah bahawa tragedi yang sama pasti akan berulang dan terjadi kepada anak bangsa jika kita bersikap sambil lewa terhadap isu ini. Sesungguhnya kesan penderaan emosi dan mental lebih sukar untuk diubati berbanding dengan penderaan fizikal.

Secara tegasnya, gejala buli, termasuklah buli siber, merupakan isu yang sangat serius dan perlu dikawal dengan kadar segera tanpa sebarang kompromi. Langkah pencegahan awal sangat penting bagi menangani isu ini dan sudha tentunya bermula daripada sikap ambil peduli. Setiap pihak – ibu bapa, guru dan masyarakat – perlu memainkan peranan dan berganding bahu dalam usaha untuk memelihara golongan remaja daripada menjadi mangsa atau pemangsa buli.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 3 2018)

Hantar Maklum Balas